Di seluruh dunia, kebanyakan wanita tidak mempunyai apa-apa hak untuk memutuskan perkara-perkara penting yang berkaitan dengan kehidupan mereka.

Wanita menderita dari dua jenis penindasan: 1) penindasan sosial umum oleh masyarakat, dan 2) seksisme - penindasan dan diskriminasi kerana jantina mereka.

Terdapat lima bentuk penindasan yang utama:

  1. Penindasan ideologi; pembasuhan otak oleh tradisi budaya, agama, periklanan dan propaganda tertentu. Manipulasi dengan konsep dan bermain di atas perasaan dan kelemahan wanita. Sikap patriarki dan autoritarian yang meluas serta pemikiran kapitalistik dalam semua bidang.

  2. Penindasan negara; bentuk organisasi berhierarki dengan garis arahan dari atas ke bawah dalam kebanyakan hubungan interpersonal, juga dalam kehidupan yang kononnya ‘peribadi’.

  3. Penindasan dan eksploitasi ekonomi; sebagai pengguna dan pekerja di rumah, serta pekerja wanita yang umumnya berpendapatan lebih rendah.

  4. Keganasan; di bawah naungan masyarakat serta di dalam bidang swasta - secara tidak langsung apabila terdapat paksaan akibat dari kekurangan alternatif dan keganasan fizikal yang langsung.

  5. Ketiadaan serta kekurangan organisasi; kezaliman dan ketegangan dari ketiadaan struktur yang menghapuskan tanggungjawab, serta mewujudkan kelemahan dan ketidakaktifan.

Faktor-faktor ini bekerjasama dan menyumbang secara serentak untuk mengekalkan kuasa antara satu sama lain di dalam sebuah lingkaran yang ganas. Belum ada cara yang benar-benar berkesan untuk menghapuskan lingkaran ini, tetapi ianya bukanlah suatu hal mustahil.

Anarko-feminisme adalah suatu perkara yang melibatkan kesedaran. Kesedaran yang akan membuatkan para penjaga kuasa tidak berfungsi dan terhapus. Prinsip-prinsip sebuah masyarakat yang bebas adalah amat jelas bagi kami.

Anarko-feminisme bererti kemerdekaan dan kebebasan para wanita itu adalah di kedudukan yang sama dengan para lelaki. Sebuah organisasi sosial dan kehidupan sosial di mana tiada sesiapa pun yang akan memiliki kedudukan serta kuasa yang lebih tinggi atau lebih rendah daripada sesiapa sahaja, dan semua orang adalah selaras dan bekerjasama, tidak kira wanita mahupun lelaki. Begitu juga dengan semua tahap kehidupan sosial, termasuk juga di dalam ruang peribadi.

Anarko-feminisme menyifatkan bahawa para wanita itu sendiri akan membuat keputusan dan menjaga hal-hal mereka dengan sendirinya, secara individu dalam hal-hal yang peribadi, dan bersama dengan wanita-wanita lain di dalam hal-hal yang mellibatkan wanita. Di dalam perkara yang melibatkan kesemua jantina secara dasarnya, para wanita dan lelaki akan membuat keputusan bersama-sama berdasarkan kedudukan dan struktur yang sama rata.

Para wanita harus mempunyai hak untuk membuat keputusan ke atas tubuh badan mereka sendiri, dan semua perkara yang melibatkan pencegahan kehamilan serta kelahiran anak adalah untuk ditentukan oleh wanita itu sendiri. Dominasi oleh para lelaki, sikap pemilikan dan kawalan ke atas wanita, undang-undang yang menindas, kebebasan ekonomi dan autonomi sosial para wanita, harus diperjuangkan secara individu dan kolektif. Pusat-pusat krisis, pusat-pusat jagaan harian, kumpulan-kumpulan perbincangan dan pembelajaran, aktiviti-aktiviti kebudayaan wanita dan lain-lain perlu diwujudkan, dan dijalankan sepenuhnya di bawah hala tuju oleh para wanita itu sendiri.

Keluarga nuklear tradisional yang patriarkal perlu digantikan dengan penyatuan bebas antara lelaki dan wanita berdasarkan hak yang sama rata untuk membuat keputusan bagi kedua-dua pihak, dan atas dasar hormat terhadap autonomi dan integriti seseorang individu. Stereotaip jantina dalam pendidikan, media, dan di tempat kerja perlu dimansuhkan. Perkongsian kerja secara radikal oleh kesemua jantina di dalam pekerjaan umum, kehidupan domestik dan pendidikan adalah pengertian yang paling sesuai.

Struktur kehidupan bekerja perlu diubah secara radikal, dengan lebih banyak pekerjaan separuh masa dan koperasi yang tersusun secara sama rata di rumah serta di dalam masyarakat. Perbezaan antara kerja para lelaki dan kerja para wanita perlu dimansuhkan. Kerja-kerja kejururawatan, hospitaliti, dan penjagaan kanak-kanak perlu mendapat perhatian dan melibatkan para lelaki, sama seperti para wanita.

‘Kuasa wanita’ (pemimpin wanita yang memegang tampuk pemerintahan tertinggi); seperti presiden dan perdana menteri wanita tidak akan sama sekali memimpin majoriti rakyat wanita untuk memenuhi tuntutan mereka atau menghapuskan penindasan. Feminis Marxis dan feminis borjuis tidak akan membantu, malah akan menyimpangkan perjuangan untuk kebebasan wanita. Bagi kebanyakan wanita, tidak akan ada feminisme tanpa anarkisme. Dalam erti kata yang lain, anarko-feminisme tidak bermaksud mempertahankan ‘kuasa wanita’ atau pemimpin wanita, ia bermaksud sebuah organisasi tanpa kuasa dan tanpa pemimpin.

Penindasan berganda terhadap wanita memerlukan perjuangan dan penganjuran yang berganda: sebelah pihak di dalam federasi feminis, dan di sebelah lagi di dalam organisasi anarkis. Para anarko-feminis membentuk penyimbangan dan penggabungan di dalam penganjuran yang berganda ini.

Anarkisme yang serius juga perlu menjadi feminis atau jika tidak, ia akan menjadi persoalan terhadap anarkisme ‘separuh masak’ yang masih lagi bersifat patriarkal dan bukannya anarkisme yang sebenar. Adalah menjadi tugas bagi para anarkofeminis untuk menjamin ada wujudnya ciri-ciri feminis di dalam anarkisme. Tidak akan ada anarkisme tanpa feminisme. Titik penting di dalam anarko-feminisme ialah perubahan perlu bermula hari ini, bukannya esok atau selepas revolusi nanti. Revolusi seharusnya bersifat kekal. Kita mesti bermula hari ini dengan melihat melalui penindasan di dalam kehidupan seharian dan melakukan sesuatu untuk memecahkan pola penindasan tersebut di sini dan sekarang.

Kita perlu bertindak secara autonomi, tanpa melantik mana-mana pemimpin atau ketua yang mempunyai hak dan kuasa untuk menentukan apa yang kita kehendaki dan apa yang kita perlu lakukan: kita mesti membuat keputusan dengan sendirinya di dalam hal-hal peribadi, bersama dengan para wanita lain di dalam hal-hal yang melibatkan wanita, dan bersama dengan rakan-rakan lelaki di dalam hal-hal umum.