标题: Kegagalan Protes di Malaysia
副标题: Protes Aman Hanyalah Membuang Masa!
作者: Bidas
语言: Bahasa Melayu
Publication: Risalah Bidas
日期: 23/072013

Gerakan resistansi dan perjuangan di Malaysia pada dekad ini, masih gagal dan patut diubah. Barisan Nasional sudah dibenci, polis dimaki tetapi mengapa di Malaysia ianya masih belum menghasilkan apa-apa? Ataupun mengubah apa-apa? Barisan Nasional yang diterajui oleh Umno terus berkuasa dan terus ketawa melihat kegagalan segala aksi protes dan demonstrasi. Sesuatu harus dipelajari untuk menumbangkan sesuatu rejim.

Di Malaysia, segala aksi yang agresif selalu dimomokkan sebagai bukan budaya kita, sudah lapuk dan gagal. Tetapi kenyataan tersebut dibuat tanpa meneliti sejarah Malaysia. Kita juga ditipu sejak kecil, Malaysia mendapat kemerdekaan tanpa tumpah darah. Tahukah kita semua, bukan Tunku Abdul Rahman yang berjaya menghalau British dari Malaya, tetapi perjuangan angkat senjata oleh Parti Komunis dan gerakan perjuangan golongan kiri yang memberi ancaman terhadap British yang menyebabkan British mahu undur diri.

Sejak kebelakangan ini, banyak demonstrasi jalanan telah dibuat di Malaysia. Juga di dalam stadium. Sebagai contoh, Bersih, Hari Kebangkitan Rakyat dan terbaru Blackout 505. Tetapi, apa hasilnya? Bagi rejim Barisan Nasional, mereka masih ditakuk kuasa. Mengapa di Mesir, di Greece, di Tunisia, di Syria dan sekarang di Turki, ianya berjaya mengubah sesuatu? Di Malaysia, pengaruh dan semangat dari Arab Spring (terutamanya) telah sampai ke sini. Tetapi mengapa ianya tidak berjaya dan gagal mengubah apa-apa.

Kritik yang boleh dihujah dan diutarakan kepada protes-protes ini dan mengapa ia gagal adalah kerana protes di Malaysia sejak kebelakangan ini tidak berlaku aksi ganas. Boleh dikatakan, ramai peserta demonstrasi mahu ianya bertukar ganas, mahu berlaku konfrantasi antara mereka dan polis, mahu Barisan Nasional jatuh. Tetapi mereka tanpa sedar telah dikawal dan dipengaruhi oleh ahli politik.

Ahli politik secara semulajadinya hanyalah wujud untuk mempengaruhi masyarakat dan menjaga periuk nasi mereka. Mereka adalah golongan yang sudah selesa dan mereka tidak merasai derita masyarakat lain. Dalam protes-protes di Malaysia sejak kebelakangan ini, mereka selalu menerangkan yang setiap protes harus menjadi aman. Dan kerana itulah, ia tidak mengubah apa-apa. Mereka dan pendokong nonviolence ataupun pasifisme mengatakan ianya penting dalam meraih sokongan masyarakat dan ianya pasti berjaya.

Antara kelompok yang lain yang mahu demonstrasi aman adalah peserta protes sendiri. Bagi mereka, protes aman akan lebih memberi hasil, jika dibandingkan dengan aksi ganas. Mereka ini (pasifis) akan selalu cuba mengawal peserta protes lain supaya tidak membaling apa-apa terhadap polis atau aksi-aksi lain yang sedemikian. Tanpa sedar, pasifisme membantu negara dan kapitalis dengan menjaga komoditi-komoditi mereka.

Aksi ganas wajib digunakan untuk menentang sistem yang ganas. Sistem, kerajaan, kapitalis telah menggunakan keganasan dalam meraih kuasa dan kapital. Tanah dirampas, orang awam dicedera, alam sekitar di rogol, haiwan dibunuh, penghuni penjara diseksa, yang miskin dimiskinkan dan yang kaya makin kaya, semua itu adalah satu bentuk keganasan. Untuk melawan segala bentuk keganasan, aksi ganas harus digunakan. Golongan pasifis sedar yang kerajaan dan kapitalis menggunakan keganasan dalam meraih kuasa tetapi mereka tidak bersetuju aksi ganas digunakan untuk menghapuskan sistem yang tidak adil.

Idea nonviolence merupakan idea yang gagal dalam melawan apa-apa bentuk penindasan, terutamanya dalam menjatuhkan sesuatu rejim. Pendokong idea nonviolence selalu mengatakan ianya berjaya dan contoh yang selalu mereka ambil adalah Gandhi di India dan Martin Luther King di Amerika Syarikat. Di India, bukan Gandhi seorang sahaja yang berjaya mengusir British dari India.

Ketika kebangkitan menghalau imperialis British, beberapa individu lain dan kumpulan lain menggunakan violence (keganasan) untuk menghalau British. Pihak British merasakan impak pendokong aksi ganas dan mula berunding dengan Gandhi kerana bagi mereka, Gandhi adalah bukan ancaman mereka. Dan ianya juga satu taktik, kononnya mereka, yakni imperialis British, boleh berunding dengan cara aman, dan ianya telah menaruh harapan palsu kepada negara-negara koloni British yang lain, yang kononnya, aksi nonviolence berjaya mendapat kemenangan.

Begitu juga hal yang terjadi di Amerika Syarikat apabila Martin Luther King, seorang pendokong pasifisme dianggap berjaya membuatkan kerajaan Amerika Syarikat melupuskan undang-undang mendiskriminasi golongan kulit hitam. Tetapi, kejayaan yang sebenar berlaku selepas Martin Luther King ditembak dan mati, di mana masyarakat kulit hitam mula menunjuk perasaan dan mengamuk, sehingga kerajaan dan kapitalis mengalami kerugian yang besar.

Salah satu lagi contoh pasifisme atau nonviolence gagal adalah apabila mengambil contoh gerakan Greenpeace dan gerakan Earth First! dan juga gerakan Earth Liberation Front. Kesemua gerakan tersebut mengfokuskan perjuangan menentang segala bentuk eksploitasi terhadap alam sekitar dan haiwan. Greenpeace merupakan satu gerakan yang pada mulanya aktif dan bukan pasifis tetapi mengubah prinsip mereka kepada satu gerakan yang pasifis. Kesudahannya, mereka boleh berkompromi dengan kapitalis seperti Shell dan ia cukup menghampakan. Earth First! dan Earth Liberation Front pula menjalankan aktiviti sabotaj sebagai taktik menghukum kapitalis. Media kapitalis mula menghentam mereka dan mula mengangkat Greenpeace. Bagi Earth First! dan Earth Liberation Front, apa yang paling penting adalah misi mereka. Greenpeace pada satu waktu hanya berjaya menyelamatkan 50% haiwan yang dibunuh oleh kapitalis melalui rundingan, yang mana ianya mengambil konsep win win situation. Dalam erti kata lain, Greenpeace bersetuju Shell atau pihak kapitalis mengeksploit bumi, tetapi ianya mesti melalui rundingan. Earth First! dan ELF pula, menganggap ini bukan win win situation, setiap haiwan tidak harus dibunuh untuk profit kapitalis dan melakukan sabotaj terhadap mereka. Ini membuahkan hasil apabila mereka berjaya menyelamatkan lebih banyak haiwan terancam. Greenpeace disini dilihat telah menjadi boneka pihak kapitalis.

Juga harus diingat mengenai Perang Vietnam. Amerika Syarikat berhenti menyerang Vietnam adalah bukan kerana protes aman. Tetapi mereka gentar apabila perjuangan menentang Amerika di Vietnam memihak kepada Vietnam. Mereka sedar 50,000 askar mereka yang terkorban hasil daripada aksi ganas dalam perjuangan menentang mereka.

Berbalik kepada konsep di Malaysia, pasifisme telah membuatkan pihak kerajaan tersenyum. Kerana itulah, kita boleh lihat pada protes Blackout 505 dan Hari Kebangkitan Rakyat, pihak FRU tidak kelihatan. Mereka sedar, kewujudan FRU boleh menimbulkan api perjuangan rakyat. Segala protes aman hanyalah membantu kerajaan terus kekal di tampuk kuasa.

Negara dan kapitalis tahu yang perjuangan ataupun resistansi tak akan lenyap. Oleh yang demikian, mereka mahu mengawal segala bentuk perjuangan dan cara yang paling senang untuk berunding adalah dengan golongan pasifis. Dengan cara tersebut, mereka menunjukkan yang mereka boleh berunding, bagus membuat kerja, mendengar rintihan rakyat dan pada waktu yang sama, mereka melembutkan api kemarahan. Pada akhirnya, mereka yang dipuji dan disanjung oleh media-media yang dikawal oleh mereka.

Golongan nonviolence juga kurang difahami mengenai obsesi mereka terhadap media dan tanggapan umum. Jika diambil skop di Malaysia, mereka selalu mahukan laporan yang bagus untuk aksi mereka. Media hanyalah medium untuk menghebohkan kehendak kapitalis dan kerajaan. Oleh itu, segala aksi ganas akan dilaporkan sebagai penyangak dan penjenayah, seperti apa yang ditanggapi oleh ahli politik, kapitalis dan pasifis. Tanpa mereka sedar, mereka berada di kelompok yang mereka tentang.

Seharusnya, golongan pasifis harus lebih menerima kepelbagaian idea. Bergerak bersama-sama adalah lebih taktikal dan lebih bagus. Mereka seharusnya berhenti cuba mengawal tindakan individu lain yang beraksi ganas dan mereka patut tahu segala bentuk aksi ganas seperti sabotaj akan lebih memberi impak. Ianya akan menakutkan penindas, mencederakan ekonomi mereka dan memberi kesedaran kepada mereka, yang kita bukan sebarangan. Selagi tiada aksi seperti itu, selagi itu tiada perubahan akan terjadi.

Selagi tiada tingkap dipecah, kereta polis dibakar, tiada molotov dibaling, selagi itu pemerintah kejam, kapitalis bangsat akan terus menindas dan membunuh. Kerana kain rentang dan sepanduk hanya akan diendahkan mereka.