标题: Transgender Melawan Institusi
副标题: 20hb November adalah Hari Memperingati Transgender (Transgender Day of Remembrance) yang menjadi mangsa keganasan anti-transgender. Ada antara kita yang dicaci, dikeji, dibuli, dipukul, dibuang keluarga dan tempat kerja, malah ada yang dibunuh.
作者: Mustajab
语言: Bahasa Melayu
Publication: Gocoh!
日期: 20/11/2020

Perlu diingatkan bahawa naratif kebencian yang wujud adalah berpunca dari agenda norma-hetero negara dan disokong melalui jabatan agama yang menjadi sebahagian dari institusi tersebut. Naratif mengenai kewujudan dan keterlihatan komuniti transgender di Malaysia bermula dari tahun 70-an. Namun, statistik berkaitan dengan komuniti trasngender terhad kepada penyelidikan sekitar advokasi HIV dan AIDS memandangkan komuniti transgender tidak mendapat peluang pekerjaan dan untuk mereka meneruskan kehidupan, ramai yang menjadi pekerja seks – mendedahkan diri mereka dengan risiko penyakit kelamin, HIV dan seterusnya AIDS.

Meneruskan kehidupan secara menyeluruh juga merangkumi akses kesihatan termasuk akses kepada hormon dan kesihatan mental. Ditambah dengan tekanan norma-hetero dan transfobia, golongan transgender menjadi antara kelompok yang memerlukan akses kepada pakar kesihatan mental. Menjadi satu kesulitan bagi komuniti tersebut untuk mendekatkan diri dengan perkhidmatan kesihatan oleh kerana sering menjadi mangsa dakwah oleh doktor yang mengambil peluang untuk mendapat ganjaran pahala dengan menasihati atau mendakwah naratif kebencian terhadap transgender melalui agenda agama. Ada antara mereka yang bergelar pakar kesihatan mental pula tidak amalkan piawaian terkini yang mansuhkan identiti transgender sebagai sebuah kecelaruan mental. Apabila identiti transgender tidak diberi pengiktirafan oleh pakar kesihatan, ini menghalang mereka untuk mendapat akses kepada hormon yang juga memerlukan pemantauan oleh pihak kesihatan.

Apabila berlaku sebarang keganasan atau gangguan terhadap komuniti transgender, ada antara mereka yang bertindak untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa atau polis. Namun, mereka tetap menjadi mangsa kepada gangguan tambahan sejak dari itu. Tidak mengejutkan kerana apabila pihak berkuasa mendapat maklumat lanjut mengenai identiti seseorang, mereka akan gunakan maklumat-maklumat tersebut untuk menggerakkan agenda anti-transgender sama ada menerusi badan mereka, kumpulan atau ahli anti-transgender yang lain. Sesungguhnya kita tidak boleh meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa seperti polis. Polis akan sentiasa melakukan kerja mereka untuk melindungi agenda negara – memerangi agenda kebebasan untuk menjadi diri sendiri melalui payung identiti transgender.

Jika berborak mengenai aksi langsung oleh komuniti transgender, dengan alat teknologi yang ada kini, makin mudah untuk komuniti saling bertemu antara satu sama lain melalui akses internet. Namun, akses kepada gajet dan internet adalah satu kelebihan yang tidak semua mampu kecapi. Demikian, penting untuk mempunyai kolektif-kolektif tempatan yang sediakan ruang untuk saling berhubung dan saling bantu-membantu andai berlaku sebarang kecemasan. Kumpulan-kumpulan bantuan transgender selalunya akan sediakan tempat tinggal andai memerlukan tempat tinggal sementara atau mencari perlindungan. Rangkaian yang tercipta juga memudahkan ahli komuniti untuk mengetahui kewujudan ahli yang berdekatan. Melalui kewujudan kolektif-kolektif tempatan juga membenarkan komuniti tersebut untuk menganjurkan aksi langsung seperti aktiviti pemerkasaan dalam bentuk latihan atau gotong-royong untuk komuniti.

Bagaimana pula dengan sokongan atau bantuan dari golongan heteroseksual atau cis-gender? Selain dari kerja bersopan-santun melalui aktiviti advokasi, ruang untuk transgender hidup masih terhad dan wujud jurang akses dan kelas terutama bagi mereka yang hidup dengan kelebihan. Ruang serta bantuan yang diberikan pula menjadi sebuah pembaziran bila digunakan untuk usaha berdamping dengan ahli politik dan pihak berkuasa atau percubaan mewujudkan perubahan melalui pilihanraya setiap lima tahun. Walaupun sejarah kewujudan komuniti transgender sudah tercatit sejak dari 70-an, tidak banyak diketahui mengenai kolektif transgender yang melakukan aksi langsung anti-penguasa untuk menghapus naratif kebencian terhadap transgender. Sedang negara membiayai kumpulan dan organisasi untuk memerangi agenda transgender, komuniti perlu melangkah tindakan yang lebih radikal untuk melawan agenda negara.

Agama pula sering menjadi penghalang utama dalam perjalanan mencari identiti di luar kerangka norma-hetero sedangkan agama tu sendiri dicipta dan dibangunkan oleh golongan heteroseksual sendiri tanpa memikirkan ruang untuk orang selain dari binari itu. Manakala kewujudan agama yang mesra-transgender oleh kerana unsur sejarah atau naratif transgender yang wujud dalam agama itu sendiri. Peranan agama yang berinstitusi pula membolehkan usaha penghapusan identiti transgender melalui kewujudan kem pemulihan atau dakwah dengan mesej untuk menegakkan pemahaman binari gender tanpa unsur transgender. Menjadi sebahagian dari agenda negara juga memudahkan agenda tersebut berjalan kerana berkait rapat dengan moral sebagai sebuah negara yang mementingkan sebuah idea kekeluargaan yang norma-hetero.

Untuk Hari Memperingati Transgender pada tahun 2020 ini, kita boleh mula mengatur aksi langsung, mencari serta menulis semula naratif yang hilang, membentuk kolektif sendiri, dan menghapuskan norma-hetero untuk sebuah ruang yang mesra-transgender. Sedangkan identiti kita sendiri melawan sempadan dan agenda negara, janganlah kita terhadkan identiti kita untuk bergantung kepada negara dan kerajaan. Kerajaan dan pihak berkuasa bukanlah tempat untuk kita sahkan identiti kita sedangkan mereka akan sentiasa mengatur langkah untuk memburu kita.

Dalam naratif transgender yang anarkis, identiti kita dimusuhi oleh para penguasa serta institusi kekeluargaan yang didefinisikan melalui kerangka norma-hetero. Kita adalah manusia, mempunyai keluarga yang menerima identiti kita seadanya, dan ‘normal’ tanpa agenda norma-hetero. Kita boleh hidup sebagai Mak Nyah, transpuan, translaki atau transpondan dan menjadi anarkis dalam melawan penindasan dan kuasa di sekeliling kita.

Hidup anarki, hidup transgender!