Anarchist Agency
Emma Goldman
Renungan pada Hari Jadinya yang ke-150
Emma Goldman (27 Jun 1869 – 14 Mei 1940) adalah salah seorang anarkis yang paling berpengaruh sepanjang zaman. Minggu ini menandakan ulang tahun beliau yang ke-150. Di dalam semangat untuk memperingati para anarkis yang wujud sebelum kami, kami telah meminta beberapa orang penulis anarkis kegemaran kami untuk berkongsikan pendapat mereka mengenai pengaruh Goldman terhadap diri mereka, dan warisan yang ditinggalkan oleh beliau buat kita semua.
Dilahirkan di sebuah wilayah yang dikenali sebagai Lithuania pada hari ini di dalam sebuah keluarga berketurunan Yahudi, Goldman berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1885 dan terlibat secara aktif dalam gerak kerja anarkis; memperjuangkan hak pengguguran dan akses kepada perancangan kehamilan, bekerja dalam sektor kebidanan, menjadi salah seorang tokoh penting dalam gerakan anti perang, dan menerbitkan banyak penulisan kesusasteraan yang radikal. Beliau telah ditangkap dan dipenjarakan beberapa kali atas tuduhan ‘menghasut orang ramai untuk merusuh’ dan mengedarkan tulisan-tulisan beliau sebagai tanda sokongan terhadap gerakan perancangan kehamilan. Goldman menjelajah dan berpidato secara meluas, dan mendahagakan pengetahuan yang mendalam bagi kedua-dua praktikal dan falsafah anarkisme. Beliau diusir dari Amerika Syarikat ke Rusia semasa Red Scare di bawah Anarchist Exclusion Act, di mana beliau berasa sangat terganggu dengan layanan dan keadaan para radikal di bawah rejim Soviet. Selepas meninggalkan Rusia, beliau menjalinkan hubungan yang akrab dengan para anarko-sindikalis yang sedang memerangi fasisme semasa Perang Saudara Sepanyol. Pada umur ke-70 iaitu tahun terakhir beliau, beliau telah menerima pesanan di rumahnya di Kanada dari bekas Setiausaha Agung CNT-FAI; Mariano Vázquez, yang menamakan beliau sebagai ‘ibu rohani kami’. Selepas kematiannya, kisah hidup dan gerak kerja Goldman hanya mendapat sedikit perhatian sehinggalah para anarko-feminis pada tahun 1960-an menghidupkan semula minat terhadap tulisannya dan sekaligus menghidupkan semula semangat perlawanannya. Para anarko-punk pada tahun 1980-an dan aktivis-aktivis anti-kapitalis milenium baharu berterusan memelihara dan menghidupkan warisan ‘Red Emma’, merujuk dan memberikan penghormatan kepada beliau dalam lagu-lagu perlawanan dan subbudaya kontra, menamakan kedai-kedai info dan projek-projek kolektif di seluruh dunia kepada nama beliau sebagai suatu bentuk penghormatan tertinggi. Kami berharap tulisan-tulisan yang berikut akan dapat menyampaikan betapa berpengaruhnya beliau sehingga ke hari ini dan seterusnya memberikan ilham kepada anda untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perjuangan keras beliau dalam mengecapi kebebasan mutlak.
Shane Burley
Emma Goldman menjelaskan sesuatu yang telah pun kita ketahui secara intuitif (tertanam di dalam gerak hati kita), tetapi telah kita lupakan di dalam kesibukan perubahan sosial yang semakin meningkat: revolusi dibuat oleh manusia yang menyedari siapa diri mereka dan apa yang mereka mahu. Perjuangan orang ramai dalam menjalin hubungan mereka dengan orang lain melalui komuniti, untuk menyedari siapa diri mereka yang sebenar dalam menghadapi penindasan institusi yang kejam, dan kuasa yang akan hadir apabila kita memintas sistem politik perantara yang ditawarkan dan kemudian merampas kembali kuasa kita. Beliau mengingatkan kita supaya kita benar-benar berdamai dengan masa lampau, bukan sekadar berevolusi dan berubah dari ingatannya.
Hak autonomi ke atas tubuh badan sendiri; dari hal reproduksi sehinggalah ke hak pekerja kilang, kesemuanya adalah pusat kuasa buat Goldman, titik perjuangan di mana sistem akan retak dengan sendirinya jika kita berjaya memperoleh apa yang kita perlukan. Beliau melihat bahawa apabila orang ramai menyedari kekuatan mereka sendiri, maka keseluruhan jaringan pemodal yang rumit tidak akan dapat bertahan lama, dan ia hanya akan hadir apabila kita bergaul dan merapati orang ramai yang tinggal di sekitar kita dalam mencari sebab dan punca yang sama.
Kini, kita sedang hidup di dalam dunia yang semakin terpisah dan berpecah-belah, dari tempat kerja ke autonomi sehinggalah identiti, namun terdapat satu titik hubungan yang menjadi tema utama gerak kerja Goldman. Perjuangannya adalah untuk sentiasa menguraikan semula apa itu ‘manusia’, bahawa manusia layak mendapat kebebasan dan kesamarataan, dan kita sebenarnya mampu membina sebuah dunia yang kita bayangkan di dalam lubuk hati kita. Kita sudah pun memiliki sebuah dunia yang kita inginkan, ia dibicarakan dalam bisikan-bisikan dan boleh dilihat dengan jelas pada saat-saat krisis berlaku apabila kita menumpaskan tipu helah kapitalisme dan hierarki sekaligus membina masyarakat dan komuniti yang bersemangat. Apa yang diperlukan sekarang hanyalah kesanggupan untuk melakukannya buat diri kita sendiri, dan untuk satu sama lain.
Shane Burley adalah seorang wartawan dan penulis Fascism Today.
Pattrice Jones
Sebagai seorang remaja pada tahun 1970-an, saya bekerja untuk apa yang kita sebut hari ini sebagai ‘pembebasan pondan’ walaupun mendapat penghinaan dari golongan kiri yang menganggap bahawa perjuangan tersebut tidak penting, malah lebih teruk lagi; sebuah gangguan kelas borjuis untuk mengalihkan perhatian dari masalah-masalah yang sebenar. Hari ini, saya bekerja untuk pembebasan haiwan, walaupun dipandang rendah oleh golongan progresif dengan sikap yang sama seperti yang saya nyatakan di atas. Di sepanjang perjalanan hidup saya, saya terus-menerus diilhamkan oleh ketabahan dan integriti Emma Goldman, yang mengalami penghinaan homolog dalam menyokong pembebasan wanita dalam anarkisme. Dalam keupayaannya untuk melihat hubungan antara sistem-sistem yang menindas dan dalam keazamannya untuk membuat perbezaan secara praktikal dalam kehidupan manusia dan bukannya berada di dalam bidang teori abstrak, Emma Goldman benar-benar melambangkan etos feminis dalam kasih sayang dan kebajikan.
Tema yang tersebar di seluruh tulisan Emma Goldman adalah peringatan semula waktu-waktu di mana beliau mengubah fikirannya, sama ada sebagai tindak balas kepada maklumat atau idea baharu atau sebagai hasil renungan dari kritikan diri sendiri. Dalam konteks berkaitan beberapa malapetaka global pada masa kini, yang sehingga kini tiada siapa pun yang benar-benar tahu bagaimana untuk memberi tindak balas yang secukupnya, bagi saya adalah antara warisan Emma Goldman yang paling penting: suatu bentuk model tentang bagaimana untuk menjadi teguh dan fleksibel dalam masa yang sama, untuk selalu menyedari bahawa mungkin ada sesuatu yang anda belum pertimbangkan lagi. Tetapi mungkin apa yang berterusan menjadi warisan Emma Goldman yang paling berharga dapat disimpulkan dalam petikan kata-katanya yang terkenal mengenai tari-menari, yang secara tersirat meraikan kepelbagaian sambil mengiktiraf keseronokan dan hiburan sebagai prinsip utama dalam motivasi diri setiap manusia. Sekiranya kita mahu menentang godaan fasisme di saat dunia sedang terbakar dan kian hancur, kita perlu menawarkan kepada para rakyat sebuah revolusi di mana mereka dapat menari sekali bersama-sama kita.
Pattrice Jones adalah seorang pengasas bersama VINE Sanctuary, sebuah badan perlindungan yang diterajui oleh LGBTQ untuk kerja-kerja keadilan sosial dan alam sekitar serta pembebasan haiwan.
Hillary Lazar
Sebagai salah seorang ahli Agency, saya sangat teruja apabila kami menggerakkan projek ini untuk meraikan ulang tahun Emma Goldman yang ke-150. Dalam banyak cara, beliau telah memainkan peranan yang sangat berpengaruh dalam jalan hidup dan politik saya sendiri, boleh dikatakan, bahkan menyebabkan penglibatan saya dengan kolektif ini.
Sebenarnya, saya tidak dapat mengingati saat pertama kali saya mengenali Emma Goldman. Mungkin sewaktu di kolej, apabila bapa saya – seorang pengumpul buku, yang sentiasa bersemangat untuk menggalakkan minat membaca saya – membelikan saya edisi pertama Anarchism and Other Essays. Saya masih teringat dengan jelas saat pertama kali membelek halaman-halaman di buku tersebut, dengan rasa yang penuh kagum terhadap pemikir revolusioner ini, yang begitu ghairah dan berani melawan kembali bukan sahaja penguasaan Negara, tetapi juga kapitalisme, faham ketenteraan (militarisme), dan yang paling utama; patriarki. Saya ingin mengenali individu ini dengan lebih lanjut dan bagaimana beliau menjadi penggerak utama dalam perubahan sosial. Beberapa tahun kemudian, saya menjadi pembantu penyelidik untuk Emma Goldman Papers Project dan mempunyai peluang untuk mengenali Emma dan kerja-kerja beliau dengan cara yang jauh lebih mendalam dan peribadi.
Sebagai permulaan, saya telah melepak di squats (squatting adalah aksi langsung menduduki kawasan tanah atau bangunan yang terbiar atau tidak didiami, kebiasaannya bangunan kediaman, di mana para penduduk tidak mempunyai kebenaran atau izin yang sah untuk mendiaminya – seperti setinggan) dan bergaul dengan kumpulan seperti Anti-Racist Action dan Love and Rage sejak saya berumur 15 tahun, tetapi saya masih bergelut dengan ‘sindrom aktivis palsu’. Saya tidaklah benar-benar nampak macam ‘terlibat secara langsung’ (baca: saya nampak ‘biasa’ dan ‘normal’ dalam penampilan saya, tidak seperti anarko-punk yang lain) dan seorang ulat buku, mudah berasa tergerut di kebanyakan ruang-ruang aktivis. Jadi, walaupun saya rasa sangat ingin terlibat sama, saya tidak pasti bagaimana untuk mencari tempat saya sendiri dan peranan dalam komuniti atau cara membangunkan gerakan dengan lebih umum. Bekerja dengan Emma Goldman Papers Project membantu saya melihat bahawa, ya, Revolusi, mempunyai tempat untuk ulat buku seperti saya juga. Kita boleh membantu menceritakan kembali kisah-kisah dan membedah pelajaran-pelajaran kritikal untuk gerakan kita yang kian dan mungkin hilang ditelan zaman. Terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan dalam perjuangan untuk mengakhiri penguasaan. Dan apa yang saya dapati ialah jika anda terus mencari, anda akhirnya akan berjumpa jalan masuk.
Namun, lebih daripada itu, saya belajar sesuatu yang penting dalam pembentukan politik saya. Secara mudahnya; setiap manusia adalah rumit, berantakan, dan sering bercanggah, dan untuk tidak membiasakan norma, sikap, dan amalan yang telah kita sosialisasikan secara dalaman adalah satu kerja yang berterusan sepanjang hidup. Semasa membaca surat-surat kiriman, tulisan-tulisan, dan autobiografi beliau, ya, saya bertemu dengan seorang wanita yang tegas, tetapi tetap mengilhamkan dari koleksi buku langka edisi pertama saya yang amat berharga. Tetapi saya juga mendapati bahawa ‘biarawati agung anarki’ dan jaguh cinta bebas ini adalah seseorang yang bergelut dengan rasa tidak percaya, keraguan, cemburu, dan kekurangannya sendiri. Beliau adalah lebih daripada seorang legenda dan mitos; beliau adalah seorang manusia, dan seperti yang kita semua, sedang berusaha melalui semua hal di atas.
Saya juga belajar bahawa beliau tidak akan dapat menggerakkan kerja-kerja yang sebegitu penting seorang diri Ya, tentu saja, saya belajar mengenali rakan seperjuangan sepanjang hidupnya; Alexander Berkman. Ia bukan sekadar Berkman seorang sahaja, malah beliau memerlukan sokongan komuniti serta jaringan rangkaian para penyokong beliau di dalam misi untuk memajukan isu-isu yang kritikal seperti penentangan terhadap kewajipan pendaftaran menjadi askar perang, akses kepada kawalan kelahiran, dan apa yang kita ketahui sekarang sebagai anarko-feminisme.
Ini termasuklah mana-mana individu yang telah atau akan lenyap ditelan zaman – tanpa usaha para pustakawan anarkis dan sejarawan sedunia seperti Mary Eleanor ‘Fitzi’ Fitzgerald, yang secara berkesan telah menjadi tangan kanan Emma dan membolehkannya melakukan siri jelajah pidatonya yang berapi-api, sehingga beliau menjadi terkenal. Fitzi juga menyokong Emma ketika beliau dipenjara, membantu mengumpulkan dana-dana kritikal untuknya, merupakan penggerak utama dalam menerbitkan majalah Mother Earth, dan melakukan banyak lagi tugas lain yang kurang glamor bagi memelihara revolusi Emma Goldman – seperti juga para anarkis lain yang kurang dikenali.
Jadi, pada ulang tahun beliau yang ke-150, saya ingin mengenalpasti semua orang di luar sana yang telah membantu memelihara dan menghidupkan semula kisah hidup Emma dan menceritakannya dengan lebih jujur, lengkap dengan pelbagai percanggahan. Saya ingin meraikan rakan-rakan seperjuangan Emma yang tidak terkenal dalam melakukan kerja-kerja beliau dan ramai lagi orang yang telah diilhamkan olehnya sejak dahulu. Dan saya mahu menghormati peranan yang telah dimainkannya dalam membantu saya mencari haluan saya sendiri. Melalui Emma Goldman, saya belajar bahawa tidak ada satu-satunya pendekatan tunggal yang bersesuaian untuk menjadi revolusioner; revolusi itu adalah sesuatu yang kita amalkan setiap hari – dan hal itu semestinya tidak mudah; dan kita tidak boleh melakukannya secara bersendirian, tetapi harus bergantung antara satu sama lain dalam usaha yang mencabar, bermanfaat, dan penting ini bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih bebas untuk semua.
Hillary Lazar berkhidmat dalam lembaga penasihat untuk Agency: An Anarchist PR Project, salah seorang tenaga pengajar Institute for Advanced Troublemaking, dan sebahagian daripada usaha untuk mengaturkan gerak kerja pekerja akademik. Tulisannya telah diterbitkan dalam Perspectives on Anarchist Theory, dan dia telah menyumbang tulisan kepada beberapa buku termasuklah Anarchism: A Conceptual Approach dan Emma Goldman: A Documentary History of the American Years.
Natasha Lennard
Saya sangat berharap bahawa Emma Goldman akan mencapai usia 150 tahun pada tanggal 27 Jun ini. Dengan ini saya tidak bermaksud bahawa beliau menjadi 150 tahun pada hari ini, meraikan kematiannya. Kerana kita masih memerlukan kehadiran Emma Goldman pada masa kini, ditandai oleh keadaan patriarki, penindasan, dan kerosakkan yang beliau tentang sejak dahulu. Setiap kali perjuangan untuk pembebasan cinta dibatasi oleh pengiktirafan negara terhadap perkahwinan, kita memerlukan Emma di atas bahu kita, mengingatkan kita bahawa: “Sekiranya dunia ini melahirkan persahabatan dan penyatuan yang sejati, bukanlah perkahwinan, tetapi cinta yang akan menjadi ibu bapa.”
Kita memerlukan semangat roh Emma untuk menghantui semua orang, termasuklah golongan kiri yang yang mahu melihat sempadan negara ditutup. “Patriotisme,” bisik beliau, “adalah satu kepercayaan karut yang dibuat-buat, direka dan diselenggarakan melalui rangkaian pembohongan dan kepalsuan.” Melawan mereka yang melakukan aksi tanpa kekerasan dan menyeru kesopanan serta keamanan dalam menghadapi fasisme, kami menyeru Emma, “Berilah kepada kami apa yang menjadi milik kami secara damai, dan jika anda tidak memberikannya dengan aman, kami akan mengambilnya secara paksa.” Dalam eseinya yang ditulis pada tahun 1914, Love and Marriage, Goldman memberi perhormatan kepada Puan Alving, satu watak dari Henrik Ibsen’s Ghosts, sebagai “seorang ibu yang ideal…kerana dia telah memutuskan rantai yang membelenggunya selama ini, dan membebaskan semangatnya.”
Puan Alvinglah yang mengucapkan kata-kata, “Saya separuh cenderung untuk berfikir bahawa kita adalah semua hantu…ia bukan sahaja apa yang kita warisi dari ibu dan bapa kita yang kini wujud kembali di dalam diri kita, tetapi segala macam idea kuno dan lapuk dan semua jenis kepercayaan yang sudah lama pupus dan perkara-perkara semacam itu. Mereka sebenarnya tidak hidup di dalam kita; tetapi di dalam kita, mereka menjadi kurang aktif, dan kita tidak akan boleh menyingkirkan mereka.” Kesemua idea-idea yang buruk dan lapuk menghantui kita. Emma, pada umur 150, adalah semangat yang kita benar-benar perlukan, sentiasa mengingatkan kita untuk bergembira dan menari.
Natasha Lennard adalah kolumnis untuk The Intercept dan kerja-kerjanya telah muncul secara kerap dalam The Nation, Esquire, The New York Times dan The New Inquiry, antara lainnya. Beliau mengajar kursus kewartawanan kritis di New School For Social Research. Beliau adalah pengarang Violence: Humans in Dark Times (with Brad Evans, City Lights 2018) dan Being Numerous: Essays on Non-Fascist Life (Verso Books 2019).
Barry Pateman
Saya pertama kali membaca sebahagian dari buku Living My Life semasa dalam kumpulan pembelajaran pekerja pada tahun 1967. Kami baru saja membaca Memoirs of A Revolutionary oleh Victor Serge dan saya masih ingat terdapat sedikit kesukaran dalam diri saya untuk menerima gaya penulisan Goldman. Saya tidak pasti saya dapat menghargai apa yang beliau cuba lakukan dalam autobiografinya sehinggalah 20 tahun kemudian. Pada masa itu, saya telah membaca hampir semua karya Goldman yang terdapat di UK dan sangat terkesan dengan My Disillusionment in Russia (bukanlah tajuk pilihannya sendiri, tetapi pilihan penerbit!!). Secara nalurinya saya dapat lihat kemuliaan hasil karya tersebut. Bagi beliau, seperti ramai anarkis lain, revolusi Rusia telah menjadi harapan kepada seluruh dunia; peluang untuk Rusia menjadi sebuah negara yang didasarkan pada bantuan bersama dan gotong-royong (mutual aid) serta idea-idea anarko-komunisme. Ia adalah permulaan dunia menjadi tunggang terbalik dan segala-galanya yang kita bayangkan seolah-seolah seperti mungkin dan akan terjadi. Buku tersebut menyampaikan, dengan begitu tegasnya, keputusasaan beliau terhadap sikap totalitarianisme yang kian berkembang pada pihak Bolshevik (termasuklah pemenjaraan dan penghukuman mereka yang mengkritik golongan kiri) dan penyokong mereka. Saya sentiasa kagum dengan kejujurannya dalam tempoh karya tersebut ditulis dan beliau mengajar saya untuk menyedari bahawa kita semua boleh tersalah erti dalam menghadapi situasi dan keadaan. Namun, itu bukanlah satu-satunya perkara yang mengagumkan saya tentang beliau pada masa-masa tersebut dalam hidupnya. Dari suatu sudut di dalam jiwanya, beliau memperoleh kekuatan untuk menegaskan kembali keyakinannya terhadap sebuah kemungkinan pada dunia yang dikehendakinya selepas semua tragedi dan keputusasaan yang beliau alami di Rusia. Beliau tetap meneruskan gerak kerjanya. Sebagai perbandingan, saya menganggap bahawa tulisan yang dilakukannya untuk akhbar anarkis Spain and the World yang berpangkalan di London, meliputi pencapaian luar biasa rakyat Sepanyol semasa revolusi Sepanyol dalam mengatur kehidupan mereka sendiri dan mengeluarkan kebolehan yang berkuasa dari dalam diri mereka pada tahun 1936/37, perlu diraikan dan diselitkan dengan pelbagai kemungkinan. Mereka bertindak sebagai balasan kepada buku beliau sebelum ini dan merupakan salah satu bacaan yang penting.
Saya hidup rapat dengan memorinya dan bekerja selama 13 tahun, membantu dalam menerbitkan tiga jilid surat-surat kiriman dan tulisannya. Apabila saya semakin meningkat dewasa, saya berasa sakit hati mengenangkan bagaimana layanan para anarkis dan ahli sejarah terhadap beliau. Ramai di antara mereka telah mengutip idea-ideanya untuk mencari mana yang mereka rasa sesuai dan relevan untuk kegunaan dan agenda peribadi mereka sahaja, dalam masa yang sama mengabaikan idea-idea beliau yang dianggap kurang sesuai. Pendekatan hina sedemikianlah yang merosakkan kerumitan idea-ideanya yang indah dan cara beliau melihatnya saling berkait rapat. Selalunya orang ramai akan mengabaikan bagaimana anarko-komunisme adalah falsafah yang mendominasi dan terdasar dalam hidupnya; sebuah platform di mana semua perjuangannya terbina. Beliau tidak pernah berasa lelah dalam melawan kekejaman ekonomi dan mental yang dibangkitkan oleh kapitalisme dan komunisme negara, tidak kira kos emosi dan fizikal terhadap dirinya sendiri. Mungkin kita semua perlu menarik nafas yang panjang, melangkah ke belakang sedikit, dan mula menyedari bahawa; itu adalah kehidupan beliau, bukan kita. Apa yang kita boleh lakukan sekurang-kurangnya adalah bersetuju bahawa beliau menjalani hidupnya berdasarkan prinsipnya, dan menerima wanita yang luar biasa ini seadanya untuk siapa diri beliau yang sebenar, dan bukannya siapa yang kita mahu beliau jadi.
Barry Pateman telah bekerjasama dengan ABC, menyunting banyak kertas kajian dan jurnal, dan telah mengambil bahagian dalam kumpulan sokongan untuk mogok buruh, kumpulan aktiviti penyewa dan mogok sewa. Beliau adalah ahli kolektif Kate Sharpley Library.
Spencer Sunshine
Saya mula membaca tulisan Emma Goldman ketika saya berumur 16 tahun. Saya telah meminjam buku Living My Life dari seorang aktivis yang lebih tua daripada saya, yang saya temui melalui sebuah kumpulan anti-Nazi. Saya sudah mula membuat zine dan menganggotai beberapa kugiran-kugiran punk, dan telah mendengar nama Goldman disebut-sebut di merata tempat. Saya tidak ingat bagaimana bentuk kulit buku tersebut, tetapi kertasnya berbau seperti tembakau – kawan saya adalah seorang perokok tegar – dan, walaupun saya sudah berusaha menjaganya dengan sebaik mungkin, tulang belakang buku tersebut yang dijilid menggunakan gam tetap terpisah dan tercabut. Saya tidak ingat bagaimana tanggapan awal sebenar saya terhadap buku tersebut, selain dari cebisan-cebisan dan kepingan kenangan sahaja. Bahasa yang digunakan dalam buku tersebut tidak mempunyai nilai-nilai antik seperti kebanyakan tulisan-tulisan dari tahun 1930-an; Goldman merupakan seorang pembaca yang rapat dengan para pendukung sastera modenisme dan beliau memasukkan idea-idea dari Freud dan Nietzsche. Anarkisme beliau juga sangat individualistik, dan ia menarik perhatian saya. (Tidak seperti kebanyakkan, saya bukanlah seorang ‘liberal’ sebelum saya menjadi seorang yang berhaluan kiri – saya lebih tertarik dengan idea libertarian sosial.) Penegasan anti-Komunisme beliau yang keras juga banyak membantu.
Akhir sekali – dan walaupun kepentingan hal ini terjadi pada saya pada masa itu, pendekatan non-reduksionisnya terhadap hierarki adalah sangat penting. Tidak seperti penganut workerisme, anarkisme Goldman menentang semua bentuk hierarki. Ini menjadikan beliau seorang radikalis sosial dan budaya, seperti politik dan ekonomi: beliau menyerang peranan gender dan agama dengan kemarahan yang sama apabila beliau menentang negara dan kapitalisme. Bersama semua hal-hal ini, menyebabkan suaranya, yang pertama kali ditempa dalam cengkaman Kekaisaran Rusia, untuk menjangkau dan dihubungkan dengan budaya saingan Generasi X saya di Amerika Syarikat. Saya membaca karya beliau pada masa yang sama Kesatuan Soviet sedang runtuh dan semasa generasi baru para radikal yang terpencar semakin meningkat. Bagi kami – ‘budak-budak’ seperti yang kami panggil diri kami sendiri, kerana kami semua adalah remaja yang semakin meningkat dewasa dan berumur awal 20-an pada tahun 1990-an – anarkisme adalah ideologi kami yang teragung. Hal ini sama dengan apa yang telah dilakukan oleh Marxisme terhadap golongan Kiri Baharu: bahkan mereka yang tidak bersetuju dengan idea-idea tersebut juga akan tertarik pada akhirnya. Dan Emma Goldman adalah wali keramat kami semua, sang anarkis yang kami sematkan dengan erat di dalam lubuk hati kami.
Spencer Sunshine menulis tentang fasis dan lain-lain gerakan sayap kanan di Amerika Syarikat.
Kevin Tucker
Saya pertama kali berkenalan dengan Emma Goldman ketika saya berusia 13 tahun, dan ia mengubah hidup saya sejak itu. adalah masa yang berubah-ubah. Anarchism and Other Essays adalah sebuah buku yang membentuk saya. Walaupun saya telah berubah arah secara radikal dalam anarkisme berbanding Emma, tidak ada persoalan lagi bahawa ini adalah di mana segalanya bermula. Saya mempunyai perselisihan yang kuat dalam hujah-hujah beliau; sokongan awal beliau terhadap Revolusi Rusia membuatkan saya tertanya-tanya – adakah 79 tahun kemudian sejak kematiannya sehingga sekarang, mungkin telah mengubah pendapatnya, yang dibentuk dalam dunia sebelum Perang Dunia Kedua? Saya rasa kita tidak akan dapat ketahui jawapannya, tetapi ini juga menunjukkan mengapa sejarah dan konteks adalah penting.
Ada sesuatu mengenai ikonografi Emma: gambar penangkapannya yang terkenal, gambar-gambar beliau berdiri dan berpidato di khalayak ramai. Beliau adalah seorang wanita berjiwa gergasi, menyebabkan ia sukar untuk kita fahami bahawa beliau sebenarnya seorang wanita bertubuh kecil yang tingginya tidak lebih pun dari lima kaki. Tetapi kata-katanya keras dan jelas. Inilah wanita yang mencambuk Johann Most di depan khalayak umum kerana Most telah mengecam kegagalan percubaan bunuh Henry Clay Frick oleh Alexander Berkman, teman rapat Emma. Inilah dia ahli teori anarkis yang dianggap seorang legenda, tetapi tidak pernah sekali pun timbul persoalan mengapa beliau perlu selalu berada di barisan hadapan. Hal itu, bagi saya, tetap memberikan inspirasi. Saya mungkin tidak bersetuju dengan sebahagian besar karya-karya beliau, tetapi prinsip-prinsip asas beliau telah termaktub di dalam diri kita: untuk tetap berdiri teguh, keras, dan lantang.
Kevin Tucker mengasaskan Black and Green Press pada tahun 2000, merupakan editor bagi jurnal Species Traitor, pengacara Primal Anarchy Podcast, dan merupakan editor pengasas Wild Resistance (dahulunya dikenali sebagai Black and Green Review). Buku-buku beliau termasuklah Gathered Remains dan For Wildness and Anarchy.