Bidas
Fuck Media Korporat: May Day Kuala Lumpur 2014
Pada perayaan May Day lepas, protes besar-besaran terhadap GST (Government Service Tax) telah dianjur oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO), kesatuan pekerja, Parti Sosialis Malaysia, dan parti politik yang lain. Protes tersebut dinamakan protes anti-GST dan isu GST menjadi topik utama protes tersebut.
Tetapi bagi kami, anti-fasis, kami merayakan May Day dan turun ke jalan dengan berbagai isu yang mahu kami suarakan. Kami menolak perkauman yang masih menjadi penyakit utama masyarakat di sini, kami mahu menghapuskan homophobia dan transphobia, menamatkan kekejaman polis dan kewujudan penjara, dan kami mahu menolak segala pembuli dan penindas yang menggunakan agama sebagai alasan. Kerana semua itu adalah fasisme, dan ianya harus dihapuskan. Dan kerana itu, kami gelar diri kami sebagai anti-fasis.
Ketika demonstrasi lepas, kami menconteng dinding bangunan, merosakkan harta benda yang kononnya dipanggil “harta benda awam”, kerana kami sudah bosan dengan sistem kapitalisme. Cara terbaik untuk mengajar mereka adalah dengan memboikot dan mensabotaj ekonomi mereka.
Pertelingkahan antara Unit Amal PAS terjadi kerana kami sudah bosan dengan keangkuhan mereka. Sejak bertahun-tahun mereka bertindak bagaikan pihak polis tanpa diundang oleh sesiapa (melainkan PAS itu sendiri). Mereka melarang kebebasan peserta demonstrasi bersuara, melarang kebebasan bergerak dan mereka merasa merekalah yang lagi layak menjadi polis. Mereka adalah entiti fasis ciptaan parti fasis PAS.
Pada 1 Mei lepas, segala kesabaran kami sejak bertahun-tahun terhadap mereka telah meletup. Mereka telah mengarahkan peserta protes yang bermain muzik ketika demonstrasi berhenti bermain muzik. Mereka juga mengarahkan peserta protes yang menutup muka, membuka topeng mereka. Dan mereka pasti mahu peserta protes wanita menutup badan mereka. Mereka bagaikan sudah mengimplikasi hudud ketika protes jalanan.
Kekecohan terjadi apabila kami ditegur kerana mengherdik ahli politik kesayangan mereka. Kemudian kami ditolak dan dikasari kerana kami tidak mahu mendengar arahan mereka. Dua anti-fasis cedera dalam kejadian tersebut tetapi pihak media tidak melaporkan berita tersebut. Malah lebih suka mengembar-gemburkan jurufoto yang ditendang dan kayu bendera serta botol air yang dibaling yang tidak mencederakan mereka.
Kekecohan antara anti-fasis dan Unit Amal PAS terjadi sekali lagi apabila kami mula berarak selepas kami menyalakan suar. Sejurus selepas kejadian, kami mula berarak menuju ke jalan berhampiran Pasar Seni sebelum media korporat mula bikin kacau.
Perarakan anti-fasis telah diprovokasi oleh pihak media korporat. Ketika mereka mengambil foto anti-fasis, mereka mencabar kami membuka topeng. Ada juga antara mereka yang cuba menarik kain rentang dan menarik topeng muka anti-fasis. Ketika berarak, kami menunjuk isyarat lucah kerana kami tahu, gambar dengan isyarat lucah tidak boleh disiarkan di akhbar mereka dan kami melaungkan slogan ’Fuck Corporate Media’. Kenapa? Kerana media korporat adalah anjing utama kapitalis dan kerajaan. Segala berita yang disebarkan oleh mereka hanyalah untuk tatapan kelas atasan dan memperbodohkan kelas bawahan. Jari tengah kami terhadap mereka menceritakan segalanya.
Kami sudah bosan dengan mereka. Dari sejak kami lahir, kami diperbodohkan oleh tv dan akhbar mereka. Kami dijaja dengan berita longkang dan disuap setiap hari dengan dogma ciptaan mereka. Tanggal 1 Mei, kami membalas dendam yang terpahat.
Untuk pengetahuan, kami bukan upahan Barisan Nasional, kami bukan anak muda Pakatan Rakyat, kami adalah sekumpulan yang terdiri dari individu-individu yang mempunyai latar belakang, jantina, kepercayaan berbeza tetapi kami berdiri bersama atas pendirian sama, kami menolak segala bentuk fasisme.
Sedarlah semua, ini bukan pertama kami muncul. Kami muncul hampir setiap tahun pada May Day. Kami membawa semangat para anarkis yang pertama kali menyambut May Day di Ipoh pada 1921 dan kami wujud oleh semangat Anti-Fascist Action yang hampir meranap Tugu Negara pada 27 Ogos 1974. Dan sejak itu kami tidak pernah menyepi.
Ini hanyalah permulaan. Yang pasti, kami tak akan mati dan kami akan kembali!
Alerta Alerta Antifascista!!!