Datuk Khoo Kay Kim & Ranjit Singh Malhl
Anarkis kaum Cina pemula Kesatuan Sekerja
Anarkismo Malaya: Sejarah Gerakan Anarkisme di Malaya
Artikel oleh K. Baradan mengenai Manusia Yang Memberi Segalanya Untuk Keadilan di dalam The Star 31 Ogos 1993 amatlah menarik.
Ianya adalah untuk pertama kali orang ramai telah diberitahu mengenai peranan pentadbiran British dalam membentuk gerakan kesatuan sekerja di Malaya. Individu yang terlibat secara terus dalam membentuk dan menubuhkan kesatuan sekerja adalah John Brazier.
Baradan menyatakan yang seawal 1949, Sir Henry Gurney (Pesuruhjaya Tinggi yang dibunuh berhampiran Bukit Fraser pada 1951), mahu gerakan kesatuan sekerja diuruskan oleh kaum etnik India. Ia boleh dianggap jawapan kepada persoalan yang sudah lama diutarakan di negara ini, iaitu “Mengapa kaum etnik India agak mendominasi kesatuan sekerja?”
Jawapan yang selalu diberi adalah kaum etnik India lebih suka bercakap dan ia lebih mudah untuk kesatuan sekerja. Ianya hampir sama dengan jawapan Harry Miller mengenai soalan “Mengapa gerakan komunis di negara ini didominasi oleh kaum etnik Hainan?” Jawapan Miller adalah kerana mereka mempunyai rasa rendah diri. Ini tidak lebih dari sekadar perbualan kedai kopi.
Sebenarnya, kaum etnik India bukan antara yang terawal dalam mengerakkan gerakan kesatuan sekerja di negara ini. Kaum etnik Cina adalah yang terawal. Aktiviti gerakan kesatuan sekerja bermula selepas Perang Dunia Pertama.
Mereka diketuai oleh satu kumpulan kaum etnik Cina yang berasaskan ideologi anarkisme. Tidak mengejutkan, ianya dibawa ke negara ini dari China.
Di China, individu yang dikenali dengan gelaran “Bapa Anarkisme” adalah Liu Shih-fu (juga dikenali dengan nama Lau Sze Fuk).
Pada 1912, dia telah menubuhkan organisasi anarkis di Canton, China, yang dipanggil Cock-Crow Society (Hui-ming hsueh-she) yang telah menerbitkan majalah Min-Sheng (Suara Rakyat) atau lebih dikenali di negara ini sebagai Man Seang (dialek Kantonis).
Versi edisi Bahasa Perancis pula telah diberi tajuk La Voco de la Popolo.
Pada 1914 di Shanghai, Liu Shih-fu telah menubuhkan Persatuan Komrad Anarko-Komunisme yang turut dikenali dengan nama Parti Anarkis China yang mana, dalam bahasa Cina Wu-cheng-fu Tang, (dalam Kantonis, Mo Cheng Fu Tong), bermaksud, “Parti Tidak Bekerajaan”. Ia menerangkan konsep anarkisme dalam bentuk yang amat mudah.
Parti Anarkis telah ditubukan di Malaya pada 1919 dan berikut merupakan objektif mereka:
“Kebebasan, Kesamarataan, Persaudaraan, Komuniti Barangan, Ko-operasi; setiap orang boleh membuat apa yang boleh dan mengambil apa yang mahu: tiada kerajaan, undang-undang atau kuasa militari, tiada tuan tanah, kapitalis atau kelas atasan. Tiada mata wang, agama, polis, penjara atau ketua. Tiada perwakilan, ketua keluarga, tiada individu tak terpelajar atau penganggur; tiada peraturan perkahwinan, tiada darjat tertinggi atau terendah, miskin atau kaya, dan kaedah yang diguna pakai diberi oleh organisasi komrad-komrad mengikut cara pusat komunikasi, risalah propaganda, ucapan dan pelajaran, mengikut resistansi pasif kepada mereka yang memegang kuasa.
Jangan membayar cukai, berhenti bekerja, berhenti berdagang; dengan berpegang kepada aksi langsung (direct action), Jangan takut membunuh dan bikin kacau. Anarki adalah revolusi yang nyata.”
Ianya jelas dari berbagai terma yang telah digunakan oleh gerakan di negara ini yang ianya diterajui oleh kaum etnik Kantonis. Salah satu perintis gereakan ini di Malaya adalah Lau Hak Fei, Sebelum datang ke Kuala Lumpur dimana beliau menjadi editor untuk akhbar Yik Khwan Po, beliau merupakan editor untuk akhbar di Manila, Filipina.
Pada 1920, masyarakat anarkis telah wujud di Singapura, Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Lumpur dan Seremban. Beberapa sekolah Cina telah menjadi pusat penting untuk aktiviti gerakan.
Gerakan anarkis di negara ini bagaikan telah menerima dorongan awal daripada demonstrasi 1 Mei 1919. Berdasarkan kenyataan gerakan anarkis di Malaya, ia menyatakan:
“Pada 1 Mei 1919, pelajar-pelajar Peking mula menyebarkan ribuan roti yang diberi nama roti “Buruh Suci” kepada penduduk di bandar tersebut. Pada masa yang sama juga di Shanghai, ribuan kaum pekerja dan pelajar mengadakan perarakkan besar jalanan. Dan gerakan yang penuh semangat ini telah meninggalkan kesan yang cukup besar hingga ke Nanyang dan seluruh negara. Ramai masyarakat miskin di Nanyang telah mula bangkit dan untuk pertama kalinya mereka mula tahu kewujudan hari untuk kelas bawahan iaitu May Day (Hari Pekerja).”
Disebabkan kepentingan yang lebih berpengaruh di kalangan kaum pekerja, prinsip utama gerakan ini dalam mencari rekrut adalah tertumpu kepada beberapa persatuan sekerja, yang mana telah lama wujud di negara ini.
Golongan anarkis menganggap 1 Mei sebagai hari penting bukan sahaja kerana ianya simbolik kepada perjuangan pekerja dan kelas bawahan menentang kapitalisme tetapi juga kerana signifikasi tarikh tersebut terhadap semua gerakan revolusi secara umum.
Di negara ini, May Day pertama kalinya disambut dengan penuh semangat oleh para anarkis di Ipoh pada 1921. Satu perjumpaan besar diadakan yang mana ianya dihadiri oleh golongan pekerja dan pelajar.
Pada tahun berikutnya mereka cuba menyebarkan ribuan risalah pada May Day tetapi perancangan mereka gagal kerana ketiadaan mesin pencetak pada saat terakhir.
Walaubagaimanapun, beberapa penerbitan risalah anarkis wujud di negara ini pada tahun tersebut. Antaranya Kung Sai Yam (Selamatkan Dunia), Kung Chan Tong (Parti Komunis) dan Moral Anarkis oleh Peter Kropotkin.
Beberapa risalah juga telah dicetak dan diterbit oleh anarkis Malaya seperti Tai Yeung (Matahari) telah dicetak di premis Yik Khwan Po di Kuala Lumpur dan Yan Kheun (Kuasa Proletariat) yang telah diterbit di Gopeng, Perak.
Gerakan anarkis di Malaya kemudian memasuki fasa yang lebih aktif pada 1924 apabila beberapa individu penting muncul, terutamanya di Kuala Lumpur.
Tetapi, tidak sampai 50 ahli tegar yang ada di Semenanjung. Pengaruh mereka hanya sampai kepada kebanyakkannya kaum etnik Cina, terutamanya guru sekolah. Antara aksi yang besar pernah dilakukan oleh para anarkis Malaya berlaku pada 1925 apabila mereka cuba untuk membunuh Sir Laurence Guillemard yang merupakan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Gabenor Negeri-Negeri Selat.
Perancangan mereka gagal dan mereka kemudian menukar target mereka kepada Daniel Richards dari pertubuhan Pelindung Orang Cina di Selangor.
Pada 26 Januari 1925, seorang anarkis wanita bernama Wong Sau Ying, berumur 26 tahun, memakai jaket putih dan kemeja hitam, berstokin putih dan berkasut putih tiba di pejabat pertubuhan Pelindung Cina di Kuala Lumpur. Beliau membawa bersama beliau ialah beg kes kecil berwarna coklat mengadungi bom.
Beliau kemudian menemui Daniel Richards dan W.L. Blythe (pembantu Daniel Richards) dan kemudian memasuki pejabat tersebut dan mula bercakap dengan Richards.
Beliau kemudiannya tergelincir dan cuba membaling beg kes tersebut terhadap Richards dan kemudiannya bom dalam beg tersebut meletup. Daniel Richards dan W.L. Blythe terselamat tetapi kedua-duanya cedera akibat letupan bom tersebut.
Wong Sau Ying kemudian ditahan dan menerima hukuman 10 tahun penjara. Ketika menjalani hukuman penjara di Penjara Pudu, Wong Sau Ying telah membunuh diri dengan menggantung dirinya. Selepas kejadian pengeboman tersebut, gerakan anarkis Malaya mula tenggelam. Kemudian, golongan komunis mula memainkan peranan dalam menyatupadukan golongan pekerja dalam perjuangan menentang bos mereka dan juga kerajaan.
Sepanjang 1920-an dan 1930-an kaum etnik Cina antara yang paling aktif dalam kesatuan sekerja walaupun tidak mendapat kebenaran rasmi Malaya. Individu-individu penting yang kebanyakkannya adalah berhaluan kiri ditahan sekiranya mereka kelihatan berpengaruh.
Ianya hanya selepas Perang Dunia ke-2 dimana pihak kerajaan mula dengan dengan sengaja memberi polisi kepada etnik India untuk mengawal dan mengepalai kesatuan sekerja sebagai satu tindakan menangani pengaruh yang datang daripada radikal etnik Cina.