Erin Malikhain
Si Biseksual yang Terpinggir
Pada suatu hari di sekolah menengah tempat Kami belajar, Kami terdengar desas-desus tentang seorang rakan sekelas yang bercinta dengan rakan yang sama jantina dengannya. Kami berasa bahawa perkara tersebut mengejutkan, kerana sedari kecil lagi, Kami berasakan bahawa perempuan akan berpasangan dengan lelaki, kerana tujuan vagina mempunyai lubang adalah untuk dimasuki oleh lelaki.
Melihat rakan perempuan yang berani untuk menunjukkan rasa kasih lebih dari persahabatan adalah perkara yang sangat menakutkan bagi Kami yang berusia 16 tahun pada ketika itu. Di kelas, Kami diingatkan sekeras-kerasnya bahawa perbuatan tersebut jijik, tidak bermoral, menggalakkan seks rambang dan akan mengundang penyakit kelamin berjangkit. Kami menjauhkan diri dari rakan tersebut, tapi dalam masa yang sama, Kami juga ingin merasakan kasih pada rakan perempuan lebih dari sekadar bersahabat.
Kami mulai mencari video-video di Internet tentang kemungkinan untuk melakukan seks dengan perempuan / mereka yang bervagina, dan Kami terkejut kerana mendapati ramai perempuan yang merasa sangat puas dan bebas apabila mengasihi dan mencintai perempuan lain. Dan Kami ingin merasai cinta itu. Tetapi pada ketika itu, Kami sudah mula berpasangan dengan lelaki sebaya, dan menolak kemungkinan tentang diri Kami yang mungkin… biseksual?
Lalu, Kami hidup dalam penafian selama beberapa tahun. Sehingga Kami berjumpa dengan B. B mengajar Kami tentang ekspresi rasa tanpa batasan, dan cinta kepada orang yang sama jantina itu adalah eksperimen dan cuba-cuba. Setahun bersama B, kami dipisahkan oleh jarak. Atas nama eksperimen cinta, B menolak kemungkinan hubungan kami dan mengatakan ia adalah sebuah fasa dalam kehidupan. Kami berduka, bermurung dan berkabung atas eksperimen seksualiti ini.
Untuk mengubat luka di hati, Kami kembali berhubung dengan lelaki. Namun, hubungan yang dipatri kerana paksa dan tidak rela, Kami hidup menderita selama beberapa tahun. Perhubungan dan tarikan dengan orang sejantina kerap kali diungkit dan diakhiri dengan penderaan dan cercaan bifobik. Kami dituduh berulang-ulang kali untuk cuba berlaku curang dengan orang lain. Ia suatu tempoh yang amat sakit bagi Kami, terutamanya kerana pada lahiriahnya, Kami adalah orang yang setia dan tidak pernah ada lebih dari satu pasangan.
Kami juga mencuba untuk bersikap terus terang kepada ahli keluarga kami tentang orientasi seksual ini, lantas disambut oleh mereka dengan:
“Oh tak mengapa, mesti kau akan berkahwin dengan lelaki juga. Boleh pilih-pilih, tapi untuk kahwin, mesti dengan lelaki.”
Dan sejak dari hari itu, persoalan tentang orientasi seksual Kami tidak pernah diungkit semasa perbualan keluarga. Ia perkara yang sudah ditetapkan sejak lahir lagi, dan Kami sudah muak dan malas mendengar komen-komen anti-queer di meja makan.
Tetapi adakah semua ini menghentikan rasa tertarik dan kemungkinan jatuh cinta pada orang yang selain dari gender lelaki atau mereka yang berpenis sahaja?
Ia tidak sedikit pun memadam semarak tarikan itu, ia sentiasa ada, meskipun dengan siapa Kami bersama, pada akhirnya. Ia bukan sekadar fasa yang dilalui buat seketika apabila asmara hangat datang bersama malam yang menjelma. Ia bukan eksperimen dan cuba-cuba. Ia bukan juga tentang tidak puas dengan yang satu.
Ia adalah tarikan. Ia adalah perasaan. Dan ia berkekalan.
Cerita ini Kami abadikan sebagai pengingat tentang seksualiti diri ini: bahawa sehingga kini, Kami masih lagi tertarik kepada perempuan / lelaki / selain dari dua gender binari ini. Kerana kemudiannya Kami memilih untuk mencintai dan berpasangan dengan lelaki bukan kerana paksa dan eksperimen, tapi cinta yang luhur dari dasar hati dan percaya kepada diri Kami dan Nya.
Keputusan ini yang turut menolak Kami ke sudut, kerana rakan-rakan komuniti queer mengejek Kami sudah ‘kembali ke pangkal jalan’ dan menjauhkan diri. Kami tidak diterima di ruangan queer kerana Kami memilih untuk mencintai dan berpasangan untuk orang yang berlawanan jantina. Padahal cinta Kami, tidak terhad pada satu gender sahaja.
Kami wujud di kalangan orang heteroseksual. Kami wujud di kalangan orang queer. Kami ada di mana-mana, kerana Kami adalah manusia yang penuh rasa cinta, untuk siapa-siapa yang mahu dicintai dan mencintai.
Sempena Bulan Mengedepankan Biseksualiti, Kami ingin mengajak rakan-rakan pembaca untuk menilai sendiri layanan kita terhadap rakan-rakan yang memperkenalkan diri sebagai biseksual. Penerimaan setiap orang berbeza-beza, namun apa yang Kami harapkan sebagai orang yang mempunyai orientasi seksual adalah agar tidak dipaksa untuk memilih apa pun jantina / gender orang yang Kami cintai. Sama ada orang itu berlawanan atau sama gender dengan Kami.
Raikan cinta sebagaimana anda meraikan kewujudannya di dunia ini. Cinta, dalam pelbagai aspek dan segi, adalah perasaan yang tidak tolok tandingannya, mengatasi segala rasa benci, terutama kepada mereka yang di dalam komuniti anda sendiri.
Selamat melawan bifobia!