Hadri Shah
Anarkisme: Wajah Sebenar Cinta Yang Sering Disalah Erti
‘Bukan bertujuan membela anarkisme, tetapi apalagi selain anarkisme yang menjunjung cinta di tahap super tinggi?’
ADA seorang anak muda berkicau di negeri Twitter beberapa bulan silam. Kicauannya maha keras. Dia memanggil ‘si bodoh’ kepada perempuan-perempuan yang beriktikadkan mazhab anarkisme. Hujahnya ringkas; bahawasanya Anarki itu terang-terang bermaksud “tiadanya undang-undang”. Makanya, di negeri tanpa undang-undang wanita bebas dirogol. Tiada siapa peduli. Tiada pembelaan. Tiada keadilan. Tiada hukum.Tiada apa yang akan berlaku. Nothing. Nehi. Nada.
Kenyataan sebegini segera mengingatkan kita betapa berdosanya memahami sesuatu idea secara literal. Ia sama seperti pandangan terhadap “Islam” yang kini diamini sebagai sebuah agama keji, tidak humanis dan kejam hanya kerana beberapa tangan celaka yang menembak membabi buta ke arah publik berteriakan Allahuakbar.
Lucu benar. Di saat manusia tunduk menyembah teknologi, menikmati keberkatan akses kepada berbiliun maklumat dengan mudah, namun, anarkisme masih kekal sebagai sebuah paham yang tak pernah jelas.
Anarkisme — bagi mereka ialah situasi cemas, pengembalian kepada hukum rimba dan sebuah gambaran kehidupan manusia yang kacau bilau, tidak teratur dan menakutkan serta digerakkan kelompok manusia lunatik bertopeng dan berpakaian hitam.
Sudah terlanjur menganggap anarkisme itu jahat, lalu aparatus negara, akademis, ahli agama dan kelompok masyarakat menyepakati anarkisme ialah musuh umat manusia. Seluruh umat manusia, sama sekali tidak layak hidup dalam keanarkian walau cuma satu malam.
Namun hakikatnya, hijab mereka ini barangkali ditutup dari melihat bahawasanya anarkisme sesakralnya tumbuh atas dasar cinta kepada keamanan dan cita-cita akan sebuah kehidupan yang harmonis. Ia, bahkan adalah konsep kehidupan sosial yang paling rasional dan praktikal. Anarkisme, ternyata sebuah keniscayaan akan cinta yang meniupkan semangat sebuah perjuangan kudus memadamkan maraknya api neraka.
Tahun 1929 buku What Is Communist Anarchism pertama kali diterbitkan di Amerika. Ia adalah mahakarya seorang tokoh falsafah Anarki bernama Alexander Berkman.
Kata Berkman, anarkisme sama sekali bukan sebiji bom, ketidakaturan atau kekacauan. Jauh sekali perampokan, pembunuhan, perang dan barbarisme. Malah anarkisme memiliki erti bahawa anda harus bebas, bahawa tidak seorang pun boleh memperbudak anda, bahawa setiap orang mesti memiliki hak-hak dan kebebasan yang sama, bahawa semua orang bersaudara hidup dalam kedamaian dan bahawa tidak boleh ada perang, tidak ada kekerasan, tidak ada monopoli yang represif apalagi penindasan.
Sejatinya, anarkisme ialah kepercayaan tentang bagaimana tanpa kepimpinan berkonsepkan hieraki, masyarakat mampu menyusun atur kehidupan sosial, ekonomi dan juga politik secara swa-kelola.
Kalau beginilah enaknya penjelasan mengenai anarkisme, harus bagaimana anak muda itu tergamak melemparkan tuduhan sedemikian?
Memang benar, anarki yang berakar dari perkataan Yunani bermaksud “tiada pemerintahan / undang-undang / otoriti”. Namun, menterjemahkannya secara ‘bulat-bulat’ adalah klarifikasi sederhana yang seringkali gagal menjelaskan gambaran sebenar.
Penolakan anarkisme terhadap kekuasaan, dominasi undang-undang dan otoriti adalah berlandaskan kepada satu asas yang kuat yakni, kekuasaan yang wujud selama ini telah dipusatkan khusus kepada satu kelas eksklusif (baca: kelas pemerintah, institusi negara, kaum atau gender). Terpusatnya kekuasaan mutlak akhirnya mencipta korupsi dan destruktif maha agung. Bagaimana?
Secara kasarnya, jika benar pemerintah adalah satu-satunya entiti yang diyakini mampu menjaga keamanan dan kemaslahatan rakyat, masakan krisis dan konflik masih belum mansuh? Kemiskinan umpama hujan yang tak pernah putus. Kes rogol, penindasan disebabkan perbezaan agama, gender dan warna kulit serta perkahwinan bawah umur tidak pernah tamat. Alam sekitar dan kondisi bumi semakin parah. Isu perbezaan kelas tidak berkunjung selesai. Nasib kaum pekerja masih rapuh sedangkan sekelompok kecil berstatus kaya-elit beroleh kesempatan dan peluang yang lebih meyakinkan.
Ini semuanya berlaku kerana, kekuasaan yang sepatutnya dipraktis semua dan digunakan bagi tujuan membangun sekeliling hanya dipusatkan kepada kelas tertentu. Seorang pemerintah, meski mempunyai kuasa untuk menguruskan hal ehwal rakyat akhirnya memilih untuk melaksanakan dasar-dasar yang menyebelahi kapitalis. Lembaga-lembaga negara seperti insititusi keagamaan, keselamatan, keadilan ditunggangi bagi menjamin keamanan kelas pemerintah. Manakala dalam masyarakat patriarki, gejala pendominasian satu gender ke atas gender lain atas alasan izin agama dan budaya masih berleluasa.
Makanya, yang perlu dipahami sekarang ialah, yang ditentang kaum anarkis sejak ratusan dahulu ialah otoriti, undang-undang dan kekuasaan mutlak yang mendamaikan kelas-kelas tersebut.
Percayalah! Tiada siapa yang mahu hidup dalam ketakutan. Tiada seorang pun mahu hidup dalam ketidakpedulian, dalam kekerasan di dalam negeri mirip neraka.
Seandainya negeri ini sudah dimansuhkan segala otoriti, undang-undang dan dasar-dasar yang menyebelahi sesebuah kelas sahaja, makanya yang digantikannya mestilah sebuah pengurusan yang lebih demokratik, jujur dan meraikan semua hak tanpa batas gender, agama dan kaum yang tentunya melibatkan partisipasi aktif seluruh ahli masyarakat dalam menyusun serta menjaga kestabilan ekonomi dan sosial.
Tidak timbul kebimbangan kaum perempuan akan segera dirogol serigala esok sekiranya berlaku anarki. Penjelasan sederhananya, masakan masyarakat yang dibangunkan dari konsep cinta teragung akan membiarkan pelaku-pelaku rakus merosakkan kedamaian?
Saat ini praktis anarkisme semakin berkembang di setiap pelusuk dunia. Anarkisme hadir sebagai ubat, mengupaya dan memberdaya ahli masyarakat mengamalkan demokrasi langsung; sebuah idea yang menggerakkan ahli masyarakat berhimpun, berhujah berbalas idea dan mengambil kata sepakat mengimplementasi idea-idea bagi mempersiapkan dunia yang lebih adil.
Dari Rojava ke Checen. Dari pekan Porto Allegre hingga ke perusahaan swa pekerja paling besar di dunia — koperasi Mondragon di Sepanyol, perkembangan praktis anarkisme sedang mekar menguntum.
Misalnya, seperti laporan World Bank Report meletakkan pekan Porto Allegre sebagai satu rujukan terbaik dimana masyarakatnya yang dikuasakan dengan semangat demokrasi menerajui sendiri keperluan pendidikan, layanan kesihatan dan keperluan publik yang lain. Hasilnya lebih efektif dan dapat dikongsi secara adil dan saksama.
Tiada kekecohan, tiada huru hara, tiada Koktel Molotov, tiada kejadian gadis dirogol tanpa dibawa kemuka pengadilan. Dilaporkan masyarakat mula bertindak mempersiapkan anarkisme sebagai alternatif kepada dunia tanpa sempadan yang lebih bernilai dan manusiawi.
Ketika dunia ditadbir oleh pelaku-pelaku kaya yang mengaku sebagai messiah dan menuduh anarkisme dengan kekejian maka tugas sebenar seorang anarkis ialah mempertahankan idea dan konsepnya — bahawa pemerintahan dari golongan elit bukan saja tidak perlu malah setiap manusia mampu hidup bersama, berkongsi dan mengatur bahagian-bahagian hidup seterusnya mencipta unit masyarakat yang swa kelola, mandiri, berani dan kreatif.