Title: Bagaimana Caranya untuk Menganjurkan Sebuah Gig?
Author: Kon Zing
Language: Bahasa Melayu
Publication: Gocoh!
Date: 30/05/2020

      Pemilihan Tema

      Tarikh

      Masa

      Tempat

      Pemilihan Band dan Penyusunan Slot

      Kewangan

      Hal-Hal Logistik

      Etika Dan Nilai

      Nota Lain

Apabila kita bercakap tentang acara, puluhan (mungkin dah masuk ratusan kot?) acara yang telah saya anjurkan serta sertai bersama sepanjang hidup saya seperti bengkel, forum, diskusi lepak-lepak-sambil-baca-buku, dan sebagainya, bagi saya gig adalah satu bentuk acara yang paling teknikal dan banyak perkara perlu difikirkan untuk menjayakannya. Menganjurkan gig bukannya suatu perkara yang mudah (untuk dilakukan seorang diri tanpa bantuan rakan-rakan lain).

Tetapi gig pada 6 April lepas yang kami anjurkan bersama Sara dari Distopia dan Ieda dari Paragila / Sarata, adalah gig yang paling chaos pernah saya alami sendiri dari sudut penganjurannya, dan adalah yang paling saya puas hati setakat ini.

Pemilihan Tema

“Memang dah tak ada langsung safe space untuk kita enjoy gig ke macam mana? Kes yang lama haritu pun belum selesai lagi, ni dah ada kes baru pulak!”

– Sara (Distopia), 2020.

Kami sedang lepak-lepak apabila Sara memberitahu saya dan Ieda bahawa pada bulan Disember tahun lepas sahaja, ada empat kes gangguan seksual dekat tempat gig.

Saya menyambung perbincangan tersebut dengan berkongsikan tips yang rakan-rakan di Indonesia amalkan. Di sana, setelah beberapa kes gangguan seksual yang tidak sudah-sudah malah semakin meningkat, ada beberapa kolektif yang menggerakkan kesedaran mengenai isu dengan mengamalkan sebuah taktik: .GIF tulisan S.O.S berwarna putih yang akan bertukar menjadi merah. .GIF ini dimainkan pada telefon bimbit dan boleh diangkat oleh sesiapa sahaja sekiranya berlaku gangguan seksual, dan mereka yang berada di atas pentas persembahan pada ketika itu (bands atau emcee) perlu cakna dan peka apabila ternampak .gif ini diangkat di kalangan pengunjung. Gig akan dihentikan seketika, dan pelaku akan dipisahkan dari ruang tersebut.

Ieda juga berkongsi pengalaman dan menceritakan sudut pandang beliau mengenai isu tersebut, dan kami terus berbincang sehingga ia menjadi sebuah perbincangan yang panjang. Tetapi tidak seperti perbincangan panjang lain yang tidak akan sudah tanpa sebarang penyelesaian, perbincangan ini adalah penting bagi kami bertiga dan harus diselesaikan (atau sekurang-kurangnya, cuba diselesaikan), sehingga kami merasakan bahawa sesuatu perlu dibuat untuk memberi kesedaran dan menghilangkan gejala bangang tersebut di tempat-tempat yang kita mahu ia menjadi selamat untuk semua.

Tarikh

Sementara itu, Cempaka Collective sedang merancang untuk menganjurkan Festival 7 Hari 7 Malam sempena Hari Wanita Sedunia dari 29 Februari hingga 8 Mac pada masa yang sama, dan kami memang sedang mencari acara untuk diisi pada slot sepanjang minggu tersebut.

Saya pun terus memberitahu Ieda dan Sara bahawa slot 7 Hari 7 Malam pada hari Jumaat (6 April) masih kosong, dan bertanya pada mereka adakah mereka onzz untuk menganjurkan sebuah gig bersama kami untuk menyebarkan kesedaran tentang isu gangguan seksual yang telah kami bincangkan tadi.

“Cool gila!” balas Sara. “Tarikh pun cun – Jumaat gig, Sabtu party, Ahad kita demo!”

Adalah penting untuk kita menganjurkan acara pada masa yang semua orang boleh datang. Contohnya pada hari Sabtu dan Ahad, di mana kebanyakan dari kita tidak bekerja pada hujung minggu. Tetapi bagi kami, hari Jumaat malam Sabtu adalah yang terbaik untuk gig kami pada masa itu kerana pada hari hujung minggu seterusnya, kami agak sibuk dengan satu lagi acara lepak-buat-placard di Rumah Cempaka pada hari Sabtu serta perlu menyediakan mental kami pula untuk Perarakan Hari Wanita pada hari Ahad.

Masa

Hal-hal mengenai masa ini adalah sangat penting bagi semua orang – Pengunjung perlu merancang perjalanan mereka untuk pergi dan pulang, para bands perlu merancang perjalanan mereka untuk tiba awal dan soundcheck apa yang patut serta perform tepat pada waktunya mengikut slot persembahan, penganjur juga perlu tiba awal untuk menyediakan persiapan dan keperluan acara, penjaga ruang pula perlu ada lebih awal dari semua orang untuk menyediakan ruang mengikut acara yang akan berlaku sebentar lagi.

Setelah berbincang sebaik yang boleh berdasarkan dua perkara utama: 1) waktu yang paling baik untuk memulakan acara selepas orang habis bekerja pada hari Jumaat, dan 2) acara perlu habis sebelum waktu perkhidmatan pengangkutan awam tamat supaya memudahkan perjalanan para pengunjung, masa yang kami pilih untuk gig tersebut adalah bermula dari pukul 8 malam sehingga 11:45 malam.

Cabaran yang paling utama mengenai masa adalah kita perlu bersaing dengan diri kita sendiri, supaya ia mengikut perancangan kita sebanyak mana yang kita mampu.

Tempat

Untuk memilih ruang yang sesuai untuk acara kita, secara kasarnya ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan iaitu:

  • Kadar sewa ruang

  • Kelengkapan peralatan yang disediakan

  • Akses pengangkutan awam

Kami memutuskan untuk menganjurkan gig tersebut di Moutou. Ruangnya sederhana, akses kepada pengangkutan awam adalah mudah, dan kolektif yang menjalan ruang tersebut adalah kawan-kawan kami juga, jadi Moutou semestinya adalah pilihan utama kami.

Moutou adalah sebuah ruang kolektif yang juga merupakan sebuah kebun bumbung dan ruang seni oleh para artis. Ada pelbagai acara yang telah dianjurkan pada ruang ini, termasuk gig hardcore. Ada sekali ni, pasu-pasu bunga di kebun Moutou pecah sebab chaos sangat.

Pintu masuk Moutou hanya boleh dijumpai apabila kita melalui celah-celah lorong belakang bangunan-bangunan lama di Jalan Panggung, Kuala Lumpur, dan letaknya di tingkat atas sekali. Anda perlu menaiki tangga sehingga 6-7 tingkat untuk sampai ke ruang ini. Masa yang terbaik untuk menguji stamina anda.

Apabila kita perlu menempuh tangga yang banyak dan tingkat yang tinggi, maka salah satu kritikan mengenai Moutou adalah ia kurang mesra pada mereka yang mempunyai kelainan dari segi upaya fizikal. Lebih-lebih lagi ia terletak di tingkat atas (sekali) iaitu bumbung bangunan. Kritikan ini mungkin sahaja boleh dijawab menggunakan alasan bahawa ia terletak di sebuah bangunan lama yang dibina memang tanpa lif, seperti kebanyakan alasan pembelaan mengenai bangunan-bangunan lama. Tapi sebenarnya, tak boleh jugak nak balas macam tu.

Bagi saya, apabila bercakap tentang ruang dan akses, kita sebenarnya perlu berhenti mencari suatu ruang yang sempurna, kerana ruang yang sempurna itu tidak pernah akan wujud. Ruang A mungkin sewanya murah, tetapi ia tidak mesra pada orang yang menggunakan kerusi roda. Ruang B pula lengkap dengan lif bagai, tapi akses kepada pengangkutan awam yang terdekat adalah 20 minit berjalan kaki. Ruang C pula..begitulah, you get the idea. Tidak ada ruang yang sempurna.

Jadi apa yang boleh kita lakukan di dalam pencarian ruang untuk acara kita adalah mengiktiraf kelebihan dan kekurangan sesebuah ruang tersebut, kemudian buat satu senarai ruang-ruang lain sebagai alternatif.

Ada banyak lagi ruang alternatif lain yang belum kita terokai dan yang perlu kita sokong, maka bereksperimenlah!

Pemilihan Band dan Penyusunan Slot

Bersempena sambutan menjelang Hari Wanita Sedunia dan berdasarkan nilai dan tema yang telah kami bincangkan awal tadi, proses yang seterusnya pula adalah berkaitan dengan pemilihan bands yang akan perform di gig nanti. Disebabkan temanya adalah isu gangguan seksual dan ruang yang selamat, maka bands yang akan dijemput nanti perlulah sesuai dan boleh memberi mesej pemberdayaan. Untuk bercakap tentang sesuatu isu, adalah lebih baik jika golongan yang terjejas dengan isu itu sendiri yang bercakap mengenainya. Maka kami bersetuju bahawa bands yang dijemput perlulah mempunyai sekurang-kurangnya seorang wanita di dalam anggotanya. Ieda mencadangkan Bawal Dan Jeans, manakala Sara mencadangkan Fausse Humanité. Saya pula mencadangkan Shh…Diam!, Tingtongketz, TimeMachine dan Senja.

Kerja yang seterusnya adalah menjemput dan mendapatkan kata putus dari bands yang dijemput.

Band pertama yang memberi kata putus adalah Fausse Humanité dan Epiduräl, diikuti dengan TimeMachine, Shh…Diam! dan Tingtongketz. Cuma tinggal Bawal Dan Jeans dan Senja sahaja. Namun ketika kami menyusun slot persembahan untuk 7 bands, kami terlepas pandang bahawa kemungkinan besar acara akan habis lambat. Jadi kami perlu menetapkan bahawa cuma akan ada 6 slot sahaja pada malam itu supaya tepat pada jadual, dan dengan gementarnya kami menunggu jawapan dari Bawal Dan Jeans dan Senja. Pada ketika ini, kami mengambil kira bahawa “Siapa confirm dulu, dia dapat slot. Siapa lambat, kita cancel.”

Bawal Dan Jeans balas mesej dari Ieda. Ini bermaksud slot Senja perlu dibatalkan. Ketika saya menghantar mesej mengenai pembatalan slot Senja, mereka menjawab dengan penuh sopan dan profesional, berulang kali meminta maaf kerana lambat memberikan kata putus, dan ini membuatkan saya berasa tak best sebab dorang best dohhhhhhhhhhh, padahal dorang tak salah pun. 

Sekarang 5 bands sudah memberikan kata putus, maka kerja yang seterusnya adalah penyusunan slot.

Menyusun slot adalah sebuah perkara yang penting tetapi tidak nampak pada mata yang kasar. Penganjur yang baik adalah mereka yang menitikberatkan penyusunan slot agar mood pengunjung sentiasa naik dan naik supaya mereka boleh kekal having fun di acara pada waktu yang lama. Formula asas gig pelbagai genre muzik adalah dengan mengelaskan bands mengikut jenis muzik mereka. Sebagai contoh, Fausse Humanité dan Epiduräl main muzik yang lebih keras berbanding bands lain iaitu hardcore punk / emoviolence, jadi mereka perlu diletakkan di slot hujung (bukan awal) supaya mood pengunjung tidak terlalu terkejut dan mereka masih boleh rilek-rilek.

Selain itu, penganjur juga perlu menyusun slot mengikut kadar ketersediaan sesebuah band. Contohnya, pemain dram Tingtongketz, iaitu Yon, juga merupakan pemain gitar Shh…Diam!. Jadi perlu ada jarak antara slot Tingtongketz dengan Shh…Diam! supaya Yon boleh berehat dan mengumpul tenaga untuk beraksi semula.

Secara kasarnya, slot yang kami susun dan hantarkan kepada bands adalah seperti yang berikut:

“8:00 – 8:25 Bawal Dan Jeans
8:35 – 9:00 TimeMachine
9:10 – 9:35 Tingtongketz
9:45 – 10:10 Fausse Humanité
10:20 – 10:45 Epiduräl
10:55 – 11:20 Shh…Diam!

Each slot is 25 minutes with 10 minutes break in between for setup.
Try to be punctual and respect other bands’ slots.
Soundcheck starts at 4 PM.
See you!”

Tiga perenggan terakhir di dalam mesej di atas adalah sangat penting untuk diberitahu kepada semua bands awal-awal, terutamanya dua baris yang pertama. Penganjur perlu memberikan sedikit jarak di antara slot-slot persembahan supaya bands boleh setup dan kemas peralatan muzik mereka dengan bertenang. Selain itu, jika ada yang terlewat perform, mereka hanya boleh melanggar masa di antara jarak slot tersebut sahaja, tidak boleh lebih.

TimeMachine cuba meminta 30 minit kepada kami untuk slot mereka, tetapi kami tidak boleh memberikannya kerana ia akan menjejaskan slot band selepas mereka, dan seterusnya akan menjejaskan seluruh perjalanan acara. Kami menjelaskan kepada mereka tentang perkara ini dan memberitahu bahawa fokus kami adalah supaya pengunjung yang datang dengan pengangkutan awam sempat balik sebelum perkhidmatan tamat. Dan mereka okay.

Bagitau je, dorang okay. Penganjur perlu tegas dan jujur.

Kewangan

Kami mempunyai modal sebanyak RM1000, yang diperoleh dari biayasama hasil kempen 7 Hari 7 Malam di FireFund. Setiap band dijanjikan token persembahan sebanyak RM100 (ini tidak cukup berbanding dengan nilai seni mereka sebenarnya, tetapi itu adalah apa yang kami mampu berikan pada ketika itu. Jika ada modal lebih, sila beri lebih. Sokonglah artis tempatan anda!). Ruang Moutou pula disewakan kepada kami dengan harga RM400. Tiket gig dijual pada harga RM15 presale, dan RM20 by door.

Secara jujurnya, kami berasa cuak apabila duit kempen FireFund lambat masuk sebab wang tersebut datang dari Eropah. Hasil jualan tiket presale yang ada sekarang cuma cukup untuk bayar keseluruhan kos gig (RM1000) sebanyak 50% sahaja. Tapi kami rasa jalan tetap jalan.

Nak tahu bila duit FireFund masuk? Pukul 3 petang pada hari kejadian. Kami terus habiskan bayar semua kos (kepada bands dan ruang) sebelum gig bermula. Dan hasil jualan tiket gig tersebut dibahagikan kepada tiga; Cempaka Collective, Distopia, dan Paragila untuk tenaga kerja dan kos lain-lain kami sebagai penganjur.

Hal-Hal Logistik

Tiket yang kami berikan merupakan sebuah paket pakej berisi sebatang cable tie putih disembur menggunakan cat berwarna merah jambu (sebab warna ungu tak ada dekat Mr. DIY, geram betul), sekeping kondom, dan sehelai pamphlet DIY Guide to Preventing Sexual Assault terbitan Sprout Distro. Untuk tiket acara, ia tidak semestinya berupa sehelai tiket yang dicetak.

Kritikan yang kami terima mengenai paket tiket kami adalah cable tie tersebut terlalu kecil dan menjerut pergelangan tangan pengunjung (walaupun sudah diberitahu bahawa cable tie tersebut tidak semestinya diletakkan pada pergelangan tangan, letak dekat seluar atau beg pun boleh). Kritikan lain pula adalah persoalan untuk menggantikan cable tie tersebut kepada bahan lain yang boleh dikitar semula atau lebih mesra alam (berbanding plastik), dan beberapa pengunjung menolak kondom percuma tersebut kerana tidak selesa.

Kami tidak perlu membawa atau menyewa apa-apa set sistem PA kerana telah disediakan oleh pihak Moutou. Sekiranya ruang yang anda gunakan tidak menyediakan kelengkapan peralatan sekali dengan kadar sewa ruang, sila berbincang dengan pemilik ruang untuk anggaran kos tambahan atau teroka pilihan alternatif lain. Kami cuma bawa kain rentang bertulis ISU WANITA = ISU NEGARA sahaja untuk dijadikan backdrop di atas dram, yang lain-lain semuanya Moutou tolong settlekan. Tapi sila tanya-tanya mereka juga ya, dan tawarkan sebarang pertolongan untuk membantu pemilik ruang.

Darwisy dari Akar Embun pula menjadi sukarelawan kami untuk merakam dokumentasi gig tersebut sebagai jurugambar (terima kasih Wisy!), jadi beliau ada membawa beberapa mentol dan wayar untuk dijadikan lampu tambahan pada malam itu. Moutou memang agak gelap sedikit apabila tiba malam. Dan kami meminta Darwisy memberitahu perkara-perkara sebegini juga perlu dibincangkan dengan pemilik ruang mengikut kesesuaian mereka. Kalau onz, onz. Kalau tak onz, sila hormat ruang. Jangan susahkan antara satu sama yang lain.

Etika Dan Nilai

Disebabkan gig ini dianjurkan pada awal musim wabak COVID-19, Fausse tidak dapat datang dan terpaksa membatalkan slot mereka kerana vokalis mereka tidak sihat. Begitu juga dengan TimeMachine, vokalis mereka juga tidak sihat tetapi mereka tetap terus perform dengan bantuan vokalis jemputan baharu dan sokongan rakan-rakan mereka.

Hal ini menjejaskan kami sebagai penganjur apabila ada pembeli tiket presale yang menuntut kembali wang mereka apabila Fausse Humanité tidak jadi datang. Ada juga yang terus membatalkan niat mereka untuk datang ke gig kami. Mungkin pengaruh Fausse Humanité memang besar dan boleh dikatakan sebagai crowdpuller, tetapi kami berasa ini tidak adil kepada band-bandlain.

Ada 5 lagi band yang jadi datang, yang tak jadi cuma satu, takkan taknak tengok yang lain? Disebabkan kami sedang serabut dan chaos dalam hal-hal penganjuran dan ada banyak lagi perkara yang perlu kami fikirkan, jadi kami pulangkan juga duit tiket presale mereka supaya tidak akan ada isu yang bangkit kemudian.

Kami membincangkan hal ini, dan kami mengakui bahawa double standard dan datang-untuk-tengok-band-kegemaran-sahaja-kemudian-balik sudah menjadi barah di dalam komuniti. Selepas mengambil kira pelbagai perkara, kami memutuskan mekanisme pemulangan wang semula sepatutnya adalah seperti yang berikut:

Kau nak refund sebab band faveret kau tak jadi datang kan? Okay fine, kami boleh refund. Tapi harga tiket RM15, bahagi 6 bands, adalah RM2.50 setiap band. Bila kau tuntut keseluruhan duit tiket kau, kau dah rompak band-band lain. Kalau kau okay untuk kami pulangkan RM2.50 je, dan kami simpan RM12.50 untuk bayar band-band lain, kau power. Tapi itu baru kira band tau, belum kira sewa ruang dan tenaga penganjur lagi.

Gig kami yang seterusnya, kami akan guna mekanisme macam ni. Kau sabar jap.

Nota Lain

Berikut adalah beberapa perkara yang memberi kesan kepada saya secara terus sebagai penganjur, yang terlepas pandang, tips ntah pape, dan mengapa gig Grrrls On The Run! ini adalah istimewa bagi saya:

  • Ingat lagi bila saya kata TimeMachine perform dengan bantuan vokalis jemputan baharu dan sokongan rakan-rakan mereka? Rakan-rakan yang dimaksudkan adalah Senja! Ya, walaupun slot mereka dibatalkan oleh kami, mereka tetap datang untuk memberi sokongan.

  • Sila sediakan wang kecil di kaunter tiket by door untuk pulangan baki! Ada beberapa kali kami terpaksa tukar duit dengan bar Moutou dan menyusahkan mereka (sorry Alan!).

  • Pemilihan emcee juga penting untuk menaikkan mood pengunjung dan tolong hypekan band yang seterusnya. Kami ada gabungan Mus dan Ieda sebagai emcees, ko ada? Ko takde kan? Jadi ko lekkkk.

  • Ada beberapa kali pengunjung yang datang dan terus masuk tanpa membeli tiket sebab kami terlepas pandang. Malah, ada yang bergaduh dengan kami sebab dorang ingat kalau beli air dekat bar, tiket gig adalah free. Mungkin mereka yang tak faham, atau kita yang kurang jelas. Jadi sila jelaskan pada mereka (macehh Delinz!). Posisi meja kaunter tiket yang sesuai juga adalah penting sebagai penghadang awal.

  • Sila tampal jadual aturcara (rundown) di bahagian yang senang nampak supaya pengunjung boleh tahu band mana yang sedang perform pada ketika itu. Potong nama band yang slotnya sudah tamat. It seriously helps, just trust me. Ia juga boleh dijadikan sebagai penanda aras supaya waktu acara tetap mengikut jadual.

  • Disebabkan oleh pembatalan slot Fausse Humanité, jadi gig habis awal. Acara tamat pada 11:22 malam. Pada keesokan harinya beberapa pengunjung yang datang dengan pengangkutan awam mengucapkan terima kasih kepada kami kerana menghabiskan acara awal supaya mereka sempat pulang ke rumah.

  • Curi-curi tengok, lari-lari sekejap atau gantikan tempat anda dengan kru penganjur lain supaya anda juga berkesempatan untuk layan band yang sedang perform! Jangan lupa untuk bergembira!

  • Jangan lupa juga untuk mengucapkan terima kasih kepada setiap pengunjung yang hadir, kepada para bands, kepada pemilik ruang, dan kepada rakan penganjur yang lain. Kau takkan rugi, beb. Percayalah.

Saya harap agar artikel ini lepas masuk FAGIYU akan datang, akan ada lebih ramai lagi yang belajar sama-sama macam mana untuk menganjurkan sendiri acara terutamanya gig. Sebab bila kita tak suka sesuatu perkara, sekurang-kurangnya apa yang kita boleh lakukan adalah dengan tidak mengadu tentang kekurangan perkara tersebut, tetapi kita buat cara kita sendiri secara DIY.

Dan saya akhiri tulisan ini dengan ucaptama Mus sebagai emcee terhebat sekalian alam pada malam itu, iaitu, “Test mic one three one two, assalamualaikum anak-anak syurga!”