Anarki Hari Ini #2: Anarkis Dan Pandemik COVID-19 (Bahagian Pertama)
Kon Zing
Mogok Sewa
Tidak Boleh Bayar, Tidak Akan Bayar!
Hello dan apa khabar para pembaca Fagiyuu! Saya harap korang semua sentiasa sihat walafiat dan menjaga diri sebaik mungkin di dalam keadaan dunia sedang bergolak sekarang. Yang dibuang kerja, yang disaman, yang tak tahu nak makan apa hari ini dan esok – silakan marah-marah, saya tidak akan meminta anda untuk bertenang. Anda berhak untuk marah.
Sejak kolum saya yang diterbitkan sebelum ini, rakyat di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Mexico, Chile, Nigeria, Indonesia dan Thailand sedang berdemonstrasi (dan merusuh) melawan ketidakadilan yang berlaku di negara mereka sejak sekian lama (solidariti bersama mereka!). Manakala di Malaysia, sebuah parti politik baharu yang kononnya mendepankan suara anak muda mengajak ahli-ahli politik dan rakyat untuk berhenti berpolitik seketika. Padahal dalam masa yang sama, kes jangkitan dan angka kematian akibat wabak COVID-19 semakin meningkat akibat dari ketamakan dan perebutan kuasa politik selepas Pilihanraya Negeri Sabah yang baru sahaja selesai beberapa minggu yang sudah. Apa lancau?
Dalam kolum Anarki Hari Ini kali ini, kita akan membincangkan bagaimana para anarkis menghadapi wabak COVID-19.
Antara permasalahan utama ketika awal wabak COVID-19 melanda adalah apabila kebanyakan pekerja diberhentikan dan perniagaan terpaksa ditutup. Selain dari perlu memikirkan bagaimana untuk membayar bil-bil bulanan, kita juga diasak oleh tuan rumah untuk membayar sewa. Kalau tak ada kerja, macam mana nak bayar sewa? Ada ramai di antara kita yang dipotong bekalan air dan elektrik, terpaksa berpindah keluar, mencari rumah sewa baharu kerana dihalau oleh tuan rumah akibat tidak mampu membayar sewa rumah yang lama. Ada juga yang menjadi gelandangan di jalanan.
Padahal, tuan-tuan rumah ini telah diberikan pelepasan bayaran moratorium oleh pihak bank untuk ditangguhkan pembayaran bulanannya. Para lintah darat ini sebenarnya sedang mengambil kesempatan di dalam kesempitan, mengatakan bahawa sewa tetap perlu dibayar, walau apa cara sekalipun.
Memang kita disajikan dengan cerita-cerita ajet good-good di media sosial tentang kemurnian dan kemurahan hati beberapa tuan rumah yang memberikan pelepasan bayaran sewa kepada para penyewanya, tetapi berapa keratlah sangat ‘tuan rumah yang baik hati’ wujud di atas muka bumi ini? Jika benar mereka berhati mulia dan pemurah, tentu sahaja mereka tidak akan memiliki lebih dari satu rumah yang lebih dari cukup dan berhenti menjadi tuan.
Mogok Sewa (RENT STRIKE)
Untuk melawan para tuan rumah yang tamak dan mengekalkan autonomi penyewa dalam masa yang sama, para anarkis mengatur komuniti setempat dan menggerakkan sebuah aksi langsung dalam bentuk kempen yang dinamakan rent strike atau mogok sewa untuk mengatasi permasalahan ini.
Mogok sewa adalah satu kaedah protes yang biasa digunakan terhadap tuan rumah serta pemilik bangunan dan tanah yang didiami. Kaedah ini sekumpulan penyewa yang mengalami nasib yang sama berkumpul, berbincang tentang permasalahan yang mereka hadapi, dan bersetuju untuk menolak atau enggan untuk membayar sewa mereka secara beramai-ramai sehinggalah senarai tuntutan mereka dipenuhi oleh para tuan. Ini boleh menjadi taktik yang berguna sebagai jalan keluar untuk digunakan terhadap para tuan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berhati perut, namun ia juga mempunyai beberapa risiko, seperti pengusiran dan memburukkan status sejarah kredit kewangan anda di masa hadapan.
Dalam sejarah, taktik mogok sewa ini sering diamalkan sebagai tindak balas terhadap masalah yang menimpa para penyewa seperti kadar sewa yang tinggi dan semakin meningkat, atau keadaan bangunan serta hartanah yang buruk sehingga membahayakan nyawa penyewa namun pemilik dan tuan tanah tidak mahu melakukan kerja-kerja pembaikpulihan.
Menggerakan Kempen
Untuk memulakan kerja-kerja kempen ini, sebuah jawatankuasa khas tempatan perlu ditubuhkan dengan segera dan dianggotai oleh para penyewa yang terkesan dari permasalahan yang sama – sama ada menghadapi pemilik bangunan yang sama atau sekadar mencari jalan keluar dari kemelut sewa ini.
Di kebanyakan tempat, kempen mogok sewa bermula dari sepucuk surat atau SMS ringkas yang ditulis bersama oleh para penyewa dan ditujukan kepada tuan rumah atau pemilik bangunan.
Surat tersebut mengandungi maklumat mengenai situasi terkini para penyewa, kesukaran untuk membayar sewa kerana ketiadaan kerja, dan juga rayuan kepada pada tuan rumah untuk meringankan sedikit beban para penyewa. Tujuan surat tersebut diisi adalah untuk membuka ruang komunikasi dua hala antara para penyewa dan tuan rumah.
Sekiranya benar ‘tuan rumah adalah berhati mulia’ dan memahami situasi para penyewanya, mereka akan membalasnya – sama ada melupuskan kutipan sewa untuk beberapa bulan terawal wabak COVID-19 menyerang, meringankan bebanan penyewa dengan mengurangkan kadar sewa kepada separuh, atau mengajak para penyewa untuk bertemu di titik tengah yang boleh disepakati oleh semua pihak yang terlibat dengan berbincang lebih lanjut.
Mengatur Ahli - Ahli Komuniti Setempat
Namun, apa yang akan terjadi sekiranya tuan rumah anda tidak ‘berhati mulia’ – menolak permintaan anda untuk bertemu di titik tengah dan tetap berkeras untuk mengutip sewa bulanan?
Kelompok anarkis menggalakkan para penyewa untuk mengatur gerakan mereka sendiri. Melalui tindakbalas tuan rumah yang kurang memberangsangkan terhadap surat tersebut, para penyewa boleh membuat kesimpulan bahawa terdapat tuan rumah yang berdegil dan tidak berhati perut ke atas keadaan dunia yang semakin melarat akibat wabak COVID-19.
Para penyewa seterusnya boleh membuat satu perjumpaan yang menghimpunkan para penyewa yang terkesan bersama jawatankuasa khas penyewa dan membuat satu kaji selidik di kawasan kejiranan tempatan mereka untuk mengumpul suara dan keluhan orang ramai terhadap kutipan sewa. Kemudian, mereka akan bersama-sama merangka sebuah petisyen yang ditandatangani oleh semua penghuni kawasan kejiranan tersebut untuk menuntut supaya kutipan sewa dimansuhkan akibat wabak COVID-19.
Menandatangani Petisyen?
Terdapat beberapa kritikan terhadap taktik menandatangani petisyen ini, termasuklah dari kelompok anarkis sendiri – terutamanya apabila seruan tindakan petisyen tersebut berakhir dengan meraih simpati ahli-ahli politik dan merayu supaya mereka campur tangan dan mengenakan tindakan terhadap para tuan rumah. Cara ini tidak akan berkesan sama sekali sekiranya (dan kemungkinan besar) para politikus ini tidak mempedulikan rayuan penyewa dan memihak kepada tuan rumah.
Ingat, ahli politik dan kapitalis adalah teman akrab yang lahir dari lubang jahanam yang sama.
Namun, petisyen yang disarankan oleh para anarkis adalah hanya sekadar mengumpul tandatangan supaya boleh menghitung jumlah penyokong tentang sesuatu permasalahan yang melanda masyarakat setempat. Ia perlu dilayan sama seperti culaan (canvassing), mengedar risalah kempen, atau bancian, dan bukannya jalan penyelesaian yang mutlak.
MASA UNTUK MOGOK!
Seterusnya apabila data dari borang kaji selidik dan jumlah tandatangan petisyen tersebut telah diperolehi, jawatankuasa khas bersama para penyewa boleh berbincang untuk mengambil tindakan selanjutnya. Sekiranya mereka bersetuju untuk melancarkan aksi mogok dan mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan tekanan dari tuan rumah, suatu tarikh akan dipilih (contohnya, 1 Mei) dan para penyokong boleh membuat satu tanda solidariti kepada kempen tersebut. Ia boleh jadi apa sahaja, seringkas yang mungkin, tetapi tetap padat dengan mesej.
Sebagai contoh, para penyokong kempen mogok sewa di sebuah negara Eropah menggantung kain putih di tingkap mereka sebagai tanda mereka akan ikut mogok. Sesiapa yang ternampak kain-kain putih ini akan mengikuti aksi tersebut dan akhirnya seluruh bangunan atau satu jalan akan dipenuhi dengan kain putih. Ia datang dengan laungan, “Kami sedang mogok dan tidak akan membayar sewa sehingga (sekian-sekian tarikh) selagi wabak COVID-19 masih wujud!” dan “Bukannya kami tidak mahu membayar sewa, tetapi kami tidak boleh/tidak mampu untuk membayarnya!”.
Kain putih ini kemudiannya menjadi simbol perlawanan antarabangsa terhadap kempen mogok sewa.
Tuan-tuan rumah dan pemilik bangunan akan tergugat apabila sebilangan besar penyewa menolak untuk membayar sewa. Mereka akan mula berlembut hati dan membuka kembali ruang komunikasi untuk berbincang dengan para penyewa demi menyelamatkan harta benda dan poket mereka. Kempen dan taktik aksi langsung seperti yang dinyatakan di atas ternyata berkesan kerana berjaya menggoncang hegemoni dan dinamik kuasa yang selama ini ditunggangi oleh para tuan, dan akhirnya kekuasaan tersebut telah dirampas kembali oleh para penyewa yang terkesan akibat ketamakan mereka.
Namun, ada juga segelintir tuan rumah dan pemilik bangunan yang berdegil dan tidak berhati perut terhadap masalah yang ditimpa oleh para penyewa dan menganggap bahawa para penyewa adalah pengacau periuk nasi mereka. Mereka berpakat dengan pihak berkuasa dan menggunakan kekerasan serta sabotaj (seperti memotong bekalan air dan elektrik) untuk menghukum para penyewa dan menghalau mereka keluar dari tanah / bangunan ‘milik‘ para tuan.
Pertahankan Komuniti Setempat !
Lalu apa yang perlu dilakukan oleh para anarkis sekiranya ahli-ahli komuniti dan kejiranan tempatan mereka berdepan dengan kekerasan? Di sinilah pentingnya kewujudan sebuah jawatankuasa khas penyewa seperti yang dinyatakan di atas tadi untuk mewakili para penyewa dan berbincang dengan para tuan. Sekiranya proses perbincangan tersebut tidak membuahkan hasil (besar kemungkinan, 99.9% negatif), maka para anarkis akan berganding bahu dengan ahli komuniti setempat dan mewujudkan sebuah kumpulan militan yang akan mempertahankan kejiranan dan melindungi ahli-ahli komuniti mereka.
Mereka akan membina tembok sekatan (barricade) untuk menahan pihak berkuasa dari masuk dan akan membalas serangan mereka. Para pelindung militan ini tidak perlu berlembut lagi kerana pihak berkuasa tidak akan sekali-kali berlembut dengan mereka. Jalan damai telah pun kita cuba sebelum ini, dan mereka masih lagi tidak mendengar rintihan kita. Mungkin beberapa bom petrol perlu dilempar dan beberapa unggun api perlu dinyalakan supaya mereka mendengar suara kita dengan sepenuhnya.
Taktik mogok sewa yang kita bincangkan kali ini memang terbukti keberkesanannya di beberapa negara di seluruh dunia, dan untuk kita mengadaptasinya di kawasan setempat kita memang amat digalakkan sekali.
Yang penting adalah untuk menggubahnya mengikut konteks tempatan, dan kesatuan antara jiran-jiran sekeliling adalah fokus utama dalam taktik ini.
Bagaimana untuk mencapainya?
Mari kita mulakannya bersama-sama – tegurlah jiran sebelah rumah anda, mulai hari ini.