Mustajab
Pusat Akses Digital
Suatu ketika dahulu, Kami berpeluang dan didedahkan dengan kewujudan Bilik Akses: sebuah bilik komputer yang mempunyai sambungan internet untuk digunakan oleh pelajar atau guru dengan tujuan pembelajaran. Kebanyakan pelajar akan berebut untuk gunakan ia sewaktu waktu rehat manakala bagi yang bertuah mungkin akan berpeluang andai guru mereka mengadakan kelas dalam bilik tersebut. Setiap pelajar yang mahu menggunakan komputer dalam Bilik Akses perlu mendaftar dalam buku log: nama, kelas, waktu serta tujuan penggunaan. Jika teringat kembali sewaktu hari perasmian Bilik Akses tersebut, masing-masing menunjukkan akhlak yang baik dengan mengakses bahan bacaan pendidikan dihadapan sidang terhormat dari bidang pendidikan. Di luar waktu formal pula, ada sahaja pelajar yang menggunakan komputer-komputer tersebut untuk mengakses laman sesawang permainan atas talian. Maklum sahaja, spesifikasi komputer dalam Bilik Akses tersebut lebih baik berbanding di makmal komputer.
Masalah utama Bilik Akses ialah akses itu sendiri. Para pelajar hanya mampu untuk menggunakan ia andai mereka mampu untuk berebut. Sistem “siapa cepat dia dapat” pula membuka ruang untuk pelajar mencuba pelbagai taktik untuk memastikan mereka mendapat tempat dalam merebut komputer tersebut. Ada yang keluar awal dari kelas, ada juga yang sanggup tidak ke kantin semata-mata untuk terus mengambil tempat duduk di dalam bilik tersebut. Menjadi isu apabila melihat muka-muka yang sama memenangi perebutan komputer tersebut. Kebiasaannya semua akan menggunakan komputer itu sepenuhnya sehingga tamat waktu rehat. Jarang sekali mendengar mereka yang hanya menggunakan komputer tersebut untuk masa yang singkat. Menambah kesukaran, bilik akses ditutup selepas waktu persekolahan, biasanya dikunci sebaik sahaja loceng tamat sekolah berdering. Andai sekolah tersebut mempunyai dua sesi, masih sukar untuk lepak dalam bilik tersebut oleh sebab bergantung kepada budi bicara cikgu yang menjaga bilik tersebut.
Kami rasa cukup aja untuk berkongsi derita mengenai Bilik Akses. Persoalannya, andai pihak kerajaan atau pihak sekolah benar-benar mahu menggalakkan akses komputer atau internet di kalangan pelajar, Bilik Akses itu sewajarnya dibuka sepanjang masa untuk pelajar menggunakan ia. Sering kali menjadi satu masalah apabila bilik akses itu hanya terhad kepada waktu persekolahan sedangkan ia sememangnya bukan waktu yang diizinkan bagi para pelajar untuk menggunakan bilik akses itu sewaktu sesi kelas sedang berlangsung. Penyediaan Bilik Akses di tempat pengajian adalah satu tindakan yang strategik, memandangkan ia adalah satu bentuk dorongan untuk penggunaan teknologi sebagai alat pembelajaran. Ia juga adalah sebuah alternatif bagi mereka yang tidak mampu untuk ke kafe siber yang juga mempunyai penggunaan yang terhad seiring dengan undang-undang negara.
Kini, hampir semua sekolah dilengkapi dengan capaian internet tanpa wayar (Wi-Fi) sebagai kerangka utama dalam menggalakkan pembelajaran atas talian dalam kelas. Selain itu, sekolah juga dibekalkan dengan komputer peribadi mudah alih yang merupakan sebahagian daripada pakej pembelajaran atas talian dari pembekal yang sama. Projek rangkaian dan peralatan yang menelan kos yang tinggi ini jarang dipakai oleh kerana ketiadaan masa untuk para pelajar menggunakan ia sesudah waktu persekolahan. Sistem pembelajaran yang masih berteraskan dengan peperiksaan utama juga sering menjadi halangan untuk pelajar menyesuaikan diri dengan sistem atas talian. Situasi COVID-19 telah menjadi satu paksaan utama dalam memastikan pelajar untuk berada atas talian, namun ia masih tidak selesaikan isu akses kerana tidak semua pelajar mempunyai peralatan yang sesuai untuk akses pembelajaran digital secara optimum.
Pusat Akses adalah untuk menyelesaikan isu capaian internet dan pemilikan perkakasan digital. Capaian internet di Malaysia adalah mahal dan rangkaiannya tidak meluas. Majoriti syarikat telekomunikasi hanya tawarkan pelan internet mudah alih berdasarkan nilai data tetapi tidak mahu tawarkan pelan berdasarkan kelajuan. Tawaran kelajuan pula hanya ditawarkan kepada pengguna internet melalui telefon bimbit sahaja. Selain itu, pakej-pakej internet yang ditawarkan hanya memberi galakan untuk penggunaan platfom tertentu seperti media sosial, penstriman lagu, video atau permainan atas talian. Inisiatif suatu ketika dahulu yang mewujudkan Pusat Internet di setiap kampung atau kawasan perumahan adalah sebuah idea yang menarik. Ia sekadar indah khabar dari rupa apabila mempunyai caj penggunaan dan juga diselit dengan capaian internet yang disekat untuk akses tertentu sahaja. Andai Pusat Internet adalah inisiatif kerajaan yang menggunakan hasil rompakan duit rakyat melalui cukai, mengapa masih perlu untuk dibayar sebarang penggunaan ia? Adakah perlu Pusat Internet itu dipenjarakan sebegitu rupa? Bagaimana untuk membangunkan sebuah Pusat Akses yang upaya memberi akses tanpa sempadan?
Pusat Akses yang Kami gambarkan adalah yang memberi akses capaian internet, peralatan dan teknologi itu sendiri. Dalam ruang itu, internet boleh diakses dalam bermacam cara selain dari sambungan talian atau tanpa wayar. Selain itu, ada yang boleh bermain dan menjalankan eksperimen terhadap peralatan dan teknologi – mencipta ruang teknologi terbuka dan anti-kapitalis. Ada juga yang mengurus pusat sumber digital yang terdiri dan dibina dari data-data yang jelas penggunaannya dan diberi izin. Capaian akses internet juga tidak ditapis seiring dengan akses pendidikan yang menegakkan kesamarataan dan anti-penguasaan. Pusat Akses ini dijalankan oleh komuniti dan ia sentiasa berfungsi untuk komuniti sebegitu juga dengan sokongan komuniti terhadap pusat tersebut. Di Pusat Akses inilah di mana komuniti boleh berkongsi teknologi sekali gus memusnahkan batasan-batasan akses oleh sebuah hirarki penguasa/kerajaan dan para kapitalis