Artikel ini bertujuan untuk menambah wacana tentang seksisme dalam gerakan yang seharusnya menentangnya. Sukar untuk membicarakan tentang seksisme dalam gerakan anarkisme dan seksisme dalam masyarakat umum kerana begitu banyak kritikan yang boleh dilakukan terhadap gerakan anarkis adalah kritikan terhadap masyarakat yang lebih besar. Terdapat kekurangan di mana kritik anti seksisme dan anarko feminis yang kritikal telah mendorong kurangnya wacana dan gerak kerja yang konkrit untuk melawan seksisme. Kritikan ini adalah berdasarkan kekurangan dalam gerakan anarkisme yang sering dikelilingi isu seksisme (dan isu penindasan yang lain). Terdapat kesinambungan pendapat dan gerak kerja yang konkrit yang harus diperakui dan diambil kira oleh gerakan anarkis agar dapat melawan seksisme di dalam gerakannya sendiri dan masyarakat umum.


MENCABAR IDEA DAN TINGKAH LAKU

Semuanya bermula dengan buah fikiran dan tingkahlaku kita sendiri. Membesar dalam masyarakat yang seksis mencambahkan idea dalam diri kita bahawa perempuan lebih lemah dari lelaki. Melainkan idea ini dicabar dalam semua aspek kehidupan kita, setiap waktu, barulah idea ini akan berkembang melalui tingkah laku kita. Ramai yang merasakan bahawa perkara ini terang lagikan bersuluh, namun Kevin Powell menulis, “Setiap hari aku melawan rasa untuk menggunakan bahasa yang menindas gender, untuk melihat seksisme yang semakin menular di Amerika, untuk melawan semua ketidakadilan, bukan yang sesuai untuk diriku sahaja.”

Anti seksisme bukanlah memerangi seksisme terang-terangan sahaja — rogol, keganasan domestik dan perbincangan seksis yang jelas — ia mencabar perhubungan kita, idea-idea yang mencipta budaya rogol, cara kita bergaul, dsb. Ini bukanlah isu yang mudah, ia melibatkan bagaimana kita bertanya kepada diri kita sendiri, melihat kembali perkembangan diri kita, dan meluangkan masa untuk melalui proses perubahan diri. Kita mesti mencabar idea dan tingkah laku yang menggalakkan seksisme di kalangan lelaki dan mengasingkan perempuan – di dalam hubungan peribadi dan organisasi.

Menyedari bahawa kerja anti-seksis adalah proses yang sukar dan mendalam adalah amat penting tetapi sering diketepikan. Terlalu kerap dilihat, lelaki yang mahu melawan seksisme gagal untuk mengakui dan melawan seksisme yang bersarang dalam diri mereka. “Aku seorang anti-seksis!” kata mereka. Namun suara mereka yang lantang itu telah menenggelamkan suara perempuan. Ia menjadi sebuah label untuk ditayangkan, bukannya suatu proses yang patut diambil secara serius. Jangan salah anggap, sekiranya seorang lelaki itu adalah anti-seksis, dia perlu terang-terangan mengakuinya, tetapi ini perlu disertai dengan tingkah laku dan penerangan dalam realiti semasa — terutamanya kepada lelaki lain. Lelaki mesti menjadi contoh untuk mencabar tanggapan arus perdana tentang maskuliniti dan bukan label semata-mata.

Selalu timbul kerumitan apabila perempuan mencabar lelaki ‘anti-seksis’. Lelaki sering bersikap mempertahankan diri apabila perempuan menegur sifat penindas dan seksis mereka. Daripada mendengar dan beroleh faedah dari teguran tersebut, mereka bersikap mempertahankan diri dan sekali lagi tidak mengendahkan pendapat perempuan. Tiada siapa yang tidak boleh ditegur, sebagaimana tidak perlunya hierarki. Kurangnya kritikan berprinsip dan kritikan pada diri sendiri dalam kalangan gerakan anarkis adalah perkara pertama yang menyelubungi gerakan dalam menangani seksisme dan isu penindasan yang lain. Dengarilah suara perempuan dengan tekun, dan sekiranya teguran itu sahih, maka lelaki harus mengubah tingkahlaku dan fikiran mereka.

KAJIAN POLITIK

Memahami seksisme adalah penting untuk semua gerakan anarkis. Meskipun begitu, sebagai perempuan, bukanlah tugas kami untuk sentiasa menjawab soalan dan mengajar lelaki bagaimana seksisme memberi kesan kepada hidup kami. Kebanyakan kumpulan anarkis sudah mempunyai program atau projek yang boleh digunakan untuk mendalami pemahaman tentang seksisme tanpa membebankan perempuan dengan tugas untuk menerangkan kehidupan kami: kumpulan kajian politik. Bilakah kali terakhir anda atau kumpulan anda membaca tentang perempuan, seksisme, feminisme atau pembebasan perempuan?

Kebanyakan waktu, dan saya bersalah dalam hal ini, kita merasakan bahawa membaca tentang isu perempuan tidak sepenting membaca tentang kapitalisme atau anarkisme atau perjuangan anti-penjajah, dsb. Kita harus berhenti memikirkan bahawa perjuangan pembebasan perempuan adalah projek atau isu sampingan dan menyatukannya sebagai sebahagian dari perjuangan kebebasan. Penulisan ini tidak semestinya anarkis atau revolusioner untuk memberikan pandangan yang bagus untuk kita. Bilakah kali terakhir anda membaca hasil tulisan Audre Lorde, bell hooks, Barbara Smith, Angela Davis, Patricia Hill Collins atau Emma Goldman? Kita mesti berinisiatif untuk membaca hasil tulisan perempuan.

MEMBERI SEMANGAT KEPADA WANITA

Sedari saya masih kanak-kanak lagi, saya dibesarkan dengan perasaan rendah diri dengan lelaki. Saya dibesarkan untuk ‘menyedari tempat saya dalam masyarakat’ dan ia bukanlah untuk menyertai wacana perbincangan dengan lelaki, semestinya dalam apa jua politik, dan tentunya bukanlah dalam perjuangan revolusioner. Saya sering melihat di sekeliling saya pada waktu perjumpaan dan acara (yang tidak mengetengahkan perempuan) dan melihat bahawa saya adalah antara segelintir perempuan yang hadir, malah kadang-kadang cuma saya seorang sahaja. Walaupun terdapat ramai perempuan yang hadir, cuma saya yang sering menyumbang buah fikiran dalam perbincangan.

Ketika meneliti penyertaan perempuan dalam perjuangan politik, kita harus meneliti puncanya. Perempuan dibesarkan untuk melihat politik bukanlah isu kita. Apabila politik menjadi radikal dan revolusioner, tahap ancaman meningkat. Oleh kerana realiti inilah, kita harus meluangkan lebih banyak masa dan tenaga untuk mewujudkan lebih banyak gerakan anti-seksis dan pro-perempuan. Kita harus mula melibatkan lebih banyak perempuan di dalam organisasi dan gerakan kita. Yang pertama adalah dengan meletakkan isu seksisme sebagai isu utama bersama-sama dengan isu lain yang memberi kesan terhadap perempuan: perkauman, heteroseksisme, keupayaan, penjajahan dan penindasan kelas. Oleh kerana kita tidak akan mampu untuk menyumbang tenaga untuk memperjuangkan isu-isu ini, kita harus berusaha untuk membincangkan isu ini secara menyeluruh, berdasarkan sasaran tumpuan kita. Kedua, kita haruslah sentiasa mengajak perempuan untuk menyertai organisasi kita. Ini termasuklah menyertai acara perempuan, mendekati perempuan secara berterusan dan menyertai perjuangan yang mengetengahkan perempuan.

Sebaik sahaja kita berjaya membawa lebih ramai perempuan ke dalam organisasi kita, kita haruslah melihat jumlah penyertaan mereka di dalam organisasi kita. Saya telah melibatkan diri saya di kancah politik lebih dari 7 tahun. Baru setahun setengah saya melibatkan diri sepenuhnya di ruang ini. Hal ini kerana saya baru sahaja menyedari bahawa saya boleh bersuara ketika dalam mesyuarat, bahawa saya boleh menyumbang dalam cara yang positif dan berkesan, dan inilah tempat saya untuk menyumbang dan turut serta. Saya harus berdepan dengan rasa tergugat apabila bekerja dengan lelaki yang saya hormati dan pandang tinggi. Saya harus melawan dengan rantai fikiran yang menarik saya ke belakang.

Beberapa faktor yang telah membawa kepada perubahan ini. Seorang rakan telah membuat saya sedar bahawa saya berkebolehan sepenuhnya untuk turut serta dalam perbincangan dan tiada orang lain yang boleh menghalang saya. Padanya, amatlah penting untuk saya turut serta dalam perjuangan, setara dengan orang lain dan dia telah meluangkan masa dan tenaga untuk memberikan semangat kepada saya. Saya ingin melihat lebih ramai lagi lelaki yang mengambil tugas ini. Setelah itu, tahap komitmen, keseriusan, dan rasa tanggungjawab saya terhadap pembebasan politik meletakkan saya di luar zon selesa saya. Ini bukanlah tugas yang mudah dan saya masih bergelut dengannya hingga ke hari ini. Ini adalah perjuangan dalam diri kita; lelaki boleh membantu perempuan untuk sampai ke tahap ini dengan melayan perempuan dengan setara dan penuh rasa hormat. Kita harus sentiasa meneliti tingkahlaku organisasi kita. Adakah lelaki atau perempuan yang lebih kerap bersyarah? Siapa yang bercakap semasa mesyuarat? Siapa yang mengendalikan mesyuarat? Siapa yang bekerja untuk organisasi, dan siapa yang mendapat pujian? Kita harus sentiasa berhati-hati terhadap lelaki yang bercakap melebihi perempuan, yang membantah atau mengabaikan suara dan sumbangan perempuan.

KIta harus meningkatkan usaha untuk melihat dinamik gender di dalam acara dan mesyuarat kita. Tanpa kepimpinan langsung oleh perempuan dalam sebarang gerakan, suara penting kita ketinggalan dalam wacana melawan seksisme.

STRUKTUR ORGANISASI ANARKIS

Salah satu cabaran dalam gerakan anarkis adalah mewujudkan struktur anti-autoritarian yang berdaya dalam organisasi kita. Kita bergelut untuk mewujudkan idea baru tentang organisasi melalui contoh terdahulu, melalui idea dan pembaharuan. Bukan sahaja kita cuba untuk mengatur gerakan kita dengan rencah anarkis, tetapi ia adalah ruang untuk menguji masa depan masyarakat.

Anarkisme melihat pembinaan masyarakat yang mempunyai rasa tanggungjawab dan akauntabiliti terhadap diri sendiri dan orang lain. Kita mahukan masyarakat yang siap untuk saling membantu antara satu sama lain. Ini tidak boleh terjadi melalui acara yang spontan; ia adalah hasil daripada masyakat yang tersusun berdasarkan struktur yang demokratik dan tidak berpusat. Saya berharap bahawa gerakan anarkis sedar akan kepentingan untuk mencari idea dan struktur baru untuk organisasi dan masyarakat yang baru. Saya tahu ramai yang merasakan bahawa mewujudkan struktur adalah bertentangan dengan idea dan prinsip anarkisme. Saya percaya bahawa tidak berbincang dan membentuk struktur demokratik adalah bertentangan dengan idea dan prinsip anarkisme.

Jo Freeman menulis dalam The Tyranny of Structurelessness bahawa “Idea tentang ketiadaan struktur tidak menghalang pembinaan struktur informal, hanya yang formal sahaja. Sistem “’aissez-faire’ adalah struktur yang ideal untuk mereka yang kuat dan berkuasa untuk mengaburi hegemoni kuasa yang tidak tercabarkan. Jadi ketiadaan struktur menjadi sebuah jalan untuk mengaburi kuasa. Selagi struktur ini adalah informal, cara untuk membuat keputusan dihadkan kepada beberapa orang sahaja, dan kesedaran tentang kuasa dihadkan kepada mereka yang mengetahui tentangnya.”

Ketiadaan struktur telah menjadi cara untuk mengekalkan seksisme, perkauman, pengasingan kelas. Sekiranya lelaki dibesarkan untuk menjadi ketua, dan perempuan tidak diberikan peluang yang sama, maka tidak sukar untuk membayangkan sebuah struktur yang yang memilih ketuanya dalam organisasi tidak berstruktur. Kurangnya struktur bermakna tiada pembahagian kuasa dari mereka yang mempunyai kelebihan untuk mereka yang tertindas. Kita harus mewujudkan struktur yang tersusun yang menghalang terjadinya ketidakseimbangan kuasa.

Ketika membentuk struktur organisasi anarkis, kita juga harus membentuk struktur yang menangani seksisme dalam organisasi kita. Salah satu isu sensitif yang perlu kita tangani adalah keganasan seksual (dan keganasan domestik). Saya kerap kali mendengar tentang situasi di mana aktivis lelaki telah mengasari aktivis perempuan secara seksual. Adalah mustahil untuk menggariskan langkah-langkah untuk menangani situasi seperti ini — kerana pemandiri / mangsa keganasan seksual yang berhak menentukannya — tetapi kita memerlukan garis panduan untuk mengendalikan kes seperti ini. Setiap ahli organisasi politik harus mempunyai pengetahuan politik tentang rogol dan keganasan seksual dan bagaimana untuk memudahcarakan situasi sekiranya anda atau seseorang yang anda kenali berada dalam situasi tersebut. Tidak mempunyai waima satu pun rangka kerja boleh menyebabkan pemandiri dan mangsa tersebut melalui situasi tersebut tanpa sokongan daripada mereka yang seharusnya memberikan sokongan kepada pemandiri dan mangsa.

Apa yang boleh dilakukan oleh organisasi anarkis dalam situasi seperti ini? Apa yang perlu kita lakukan apabila salah seorang daripada kita telah dikasari secara seksual? Apa yang perlu kita lakukan apabila salah seorang daripada kita telah mengasari orang lain secara seksual? Apakah yang harus kita lakukan apabila kedua-dua pihak adalah sebahagian dari organisasi kita? Saya mencabar semua organisasi untuk memikirkan bagaimana untuk mengelakkan keganasan seksual daripada terjadi, bagaimana untuk menanganinya sekiranya ia terjadi, dan bagaimana untuk menyokong pemandiri dan mangsa keganasan seksual sebaik mungkin.

MEMPERKASAKAN PERJUANGAN PEREMPUAN

Perjuangan melawan seksisme adalah perjuangan semua orang. Ia memberi kesan terhadap semua orang: lelaki, perempuan, dan golongan minoriti seksual dan gender. Amatlah penting untuk lelaki anti-seksis, yang beroleh kelebihan disebabkan oleh seksisme, untuk memperkasakan perjuangan untuk pembebasan perempuan. Sama pentingnya bagaimana orang berkulit putih untuk menawarkan diri mereka untuk perjuangan anti-perkauman dan golongan heteroseksual menawarkan diri mereka untuk melawan homofobia dan transfobia, lelaki juga harus menawarkan diri mereka untuk melawan seksisme.

Untuk anarkis lelaki, persoalannya, adakah anda terlibat dengan perjuangan pembebasan perempuan, yang diketuai dan dikelolakan oleh perempuan, dan ditujukan untuk perempuan-perempuan lain? Jika tidak, mengapa? Saya sering kali mendengar bahawa perjuangan ini ‘terlalu reformis’. Dalam beberapa keadaan, saya juga berpendapat sebegitu namun saya tidak melihat perjuangan revolusioner yang boleh membantu perempuan sebagaimana gerakan tersebut boleh membuat perubahan. Jawapannya adalah dengan tidak mengabaikan gerakan ini dan membina gerakan baru melalu gerakan sedia ada, atau tanpa gerakan sedia ada. Adakah anarkis sudah membina struktur alternatif untuk membantu pemandiri dan mangsa keganasan seksual? Adakah kita sudah mampu untuk membantu perempuan tertindas dengan cara yang paling revolusioner pada ketika ini?

Ramai yang mengetepikan perjuangan anti-seksis sebagai ‘perjuangan perempuan’ sahaja. Ramai yang tidak melihat perjuangan anti-seksis sebagai punca utama dalam pembebasan masyarakat. Ramai yang percaya bahawa perjuangan anti-seksisme boleh tunggu sebentar sedang revolusi terjadi. Pemikiran ini harus berubah. Sekiranya kita mahu masyarakat yang sama rata, kita harus membina gerakan yang menghormati kesetaraan – kaum, gender, kelas dan seksualiti. Kita harus menjadikan gerakan anarkis sebagai gerakan perempuan. Sekiranya kita mahu menghapuskan seksisme, maka kerja kita seharusnya bermula semalam.

MAJU KE HADAPAN, JANGAN PANDANG BELAKANG

Anarkis sering mempunyai analisis di mana seksisme adalah “struktur berkait dengan amalan, institusi dan idea yang melebihkan kuasa kepada lelaki berbanding perempuan.” Analisis institusi adalah tepat sebagai permulaan, tetapi kita harus menterjemahkan ini kepada fikiran dan tingkah laku kita sendiri. Barulah semua anarkis boleh bekerjasama dengan berkesan (sekurangnya dalam hal berkait gender tapi kita juga mesti menangani homofobia, perkauman, dan isu kelas). Untuk mewujudkan masyarakat yang setara, gerakan kita hendaklah setara, dan pada ketika ini, gerakan kita masih lagi belum setara. Mewujudkan perubahan revolusioner bermula hari ini dengan mencabar masyarakat kapitalis yang seksis, bersifat perkauman dan heteroseksis. Ini bermakna kita hendaklah sentiasa mencabar diri kita, keluarga kita, kejiranan kita, komuniti kita dan gerakan kita. Memetik kata-kata Kevin Powell, “Seperti mana golongan berkulit putih perlu lebih lantang dalam melawan sifat perkauman dalam komuniti mereka, sebegitulah juga lelaki perlu lebih lantang melawan seksisme di kalangan mereka sendiri.”

Gerakan Anarkis perlu lebih lantang dan aktif dalam perlawanan menentang seksisme. Hidup kita semua bergantung padanya.